Peluang tunai haji dorong pemuda hilang kaki tekad bangkit semula - Utusan Malaysia

Peluang tunai haji dorong pemuda hilang kaki tekad bangkit semula

FAIRUZ Fahmy Harun (berkerusi roda) berbual bersama Saifulizam pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sembilan bagi musim haji 1445H/2024M di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Peluang menunaikan ibadah haji tidak lama lagi menjadi titik penting dalam kehidupan seorang bekas mekanik dari Tampin, Fairuz Fahmy Harun, 36,.

Menurutnya, dia tekad untuk bangkit semula selepas menempuh pengalaman pahit kehilangan kaki akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2017.

“Kaki kanan saya terpaksa dipotong selepas kemalangan motosikal di Pedas dekat Rembau. Mula-mula susah juga berdepan situasi ini tetapi lama kelamaan saya fikir tidak boleh lagi berdiam diri.

“Saya mesti bangkit dan berazam peluang menunaikan haji akan menjadi platform penting dalam kehidupan saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sembilan bagi musim haji 1445H/2024M di sini hari ini.

Majlis perasmian kursus anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Fairuz Fahmy memberitahu, selepas pulih daripada kemalangan beliau pernah menyertai sukan tenis kerusi roda tetapi berhenti pada 2020.

“Tumpuan masa ini adalah pergi ke tanah suci dan menunaikan ibadah haji dengan sempurna. Saya akan melengkapkan persiapan hendak ke tanah suci sesuai dengan situasi menggunakan kerusi roda,” ujarnya yang memberitahu akan memberi tumpuan untuk mendapatkan kaki palsu yang membolehkan dia bergerak lebih baik selepas pulang dari Mekah nanti.

Sementara itu, seramai 1,130 orang bakal jemaah haji dari negeri ini telah mengambil bahagian dalam kursus itu selama dua hari yang bermula semalam.

Kursus tersebut adalah kesinambungan daripada latihan yang telah disertai oleh para peserta berkenaan sebelum ini. Program tersebut adalah kursus asas selama 12 minggu dan program insentif selama dua hari.

Pengkursus Ibadat Haji Tanahair (Pekta), Saifulizam Mohamad berkata, kursus perdana kali ini membolehkan para peserta menjalani latihan praktikal ilmu ibadah haji yang dipelajari sebelum ini.

“Mereka menjalani simulasi ibadah haji seperti tawaf yang mampu menggambarkan situasi sebenar ketika menunaikan haji. Ia mampu meningkatkan kefahaman dan mengelak para jemaah daripada melakukan kesilapan dalam situasi sebenar,” katanya yang pernah bertugas sebagai wartawan selama 19 tahun.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×