Terlalu awal simpul kesilapan manusia sebagai punca nahas

Terlalu awal simpul kesilapan manusia sebagai punca nahas

PASUKAN penyiasat perlu mendapatkan kotak hitam pesawat supaya punca sebenar nahas dapat dikenal pasti dengan tepat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih terlalu awal untuk menyimpulkan nahas dua helikopter yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut kelmarin berpunca daripada kesilapan manusia.

Memberitahu Utusan Malaysia, Inspektor Kemalangan Udara, Biro Siasatan Kemala­ngan Udara (BSKU), Khairulnizam Jamaludin berpandangan, punca dan bukti nahas itu hanya boleh ditentukan menerusi hasil siasatan teknikal dan analisa data daripada kotak hitam yang terdapat pada pesawat terlibat.

Kata beliau, setakat ini, siasatan membabitkan nahas ber­kenaan dilakukan sepenuhnya oleh TLDM kerana ia melibatkan aset ketenteraan dan bukan komersial atau awam.

MAKMAL

“BSKU hanya akan membantu dalam penyiasatan berkenaan sekiranya pihak TLDM memerlukan bantuan kepakaran. Sebagai contoh, kita (BSKU) mempunyai makmal kotak hitam dan boleh membantu untuk memuat turun data dari kotak hitam ber­kenaan. Semua itu bergantung kepada kepakaran dan kelengkapan yang mereka ada.

“Setakat ini, kami belum terima apa-apa makluman daripada TLDM,” katanya ketika dihubu­ngi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai pandangannya berdasarkan video yang tersebar memaparkan kedua-dua helikopter berkenaan bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit iaitu Fennec dan HOM AW139 yang berlepas dari Padang Sitiawan hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut manakala AW139 di Stadium TLDM Lumut.

Ketika kejadian, helikopter HOM AW139 dinaiki tujuh pegawai dan anggota manakala Fennec dinaiki tiga pegawai dan anggota dengan semua mangsa berusia dalam lingkungan 26 hingga 41 tahun.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter yang terhempas semasa raptai perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman memberitahu, lembaga tersebut dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan secara terperinci berhubung insiden itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN