KLANG: Seorang bekas banduan sanggup melarikan diri ke Langkawi dengan motosikalnya dalam usaha melarikan diri selepas meragut seorang wanita sehingga cedera di Jalan Persiaran Raja Muda Musa di sini, minggu lalu.
Lelaki tempatan berusia 24 tahun itu dipercayai baru saja selesai menjalani hukuman di penjara atas kesalahan dadah pada awal bulan ini.
Perbuatan jenayah ragut suspek pada 15 April lalu bagaimanapun memakan diri apabila dicekup polis di sekitar pekan Kuah, Langkawi, Kedah kira-kira pukul 4.15 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan itu dilakukan hasil siasatan dan maklumat pihaknya mengenai suspek.
“Ketika tangkapan, lelaki itu sedang makan di sebuah kedai dan diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.
“Suspek dipercayai hanya menunggang motosikal bagi melarikan diri ke Langkawi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan perjalanan seorang gadis menuju ke tempat kerja bertukar malang apabila diragut penjenayah sehingga cedera akibat terjatuh daripada motosikalnya di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, di sini.
Kejadian tular pukul 8.50 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 20 tahun cedera di tangan dan kaki selain beg silangnya dilarikan suspek.
Mangsa yang cedera kedua-dua tapak tangan, lutut dan bahu kiri itu kerugian RM3,000 selepas kehilangan begnya yang berisi telefon bimbit Iphone 14, dokumen peribadi dan wang tunai RM114.
Tambah Hoong Fong, semakan mendapati suspek yang baru keluar penjara itu memiliki lima rekod jenayah lampau termasuk dadah.
“Polis turut menemukan beberapa barangan kes daripada lelaki tersebut. Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN










