PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) boleh menang jika mempertaruhkan calon Melayu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Mei depan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, tiada masalah untuk Parti Gerakan mengumumkan pendirian untuk bertanding walaupun PN belum membuat keputusan.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi berpandangan, calon Melayu boleh memberi kelebihan kepada PN untuk menambah kerusi DUN Selangor.
“Jadi kena bagi fokus calon Melayu. Tetapi (soal) parti mana? Kita serah pada pucuk pimpinan PN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Parti Gerakan yang mahu bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu.
Difahamkan, hampir 50 peratus pemilih di kerusi berkenaan terdiri daripada pengundi Melayu; Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus).
Mengulas lanjut, Razali berkata, calon Melayu memberi kelebihan kerana sokongan orang Melayu kepada PN masih dilihat kental.
Malah, katanya, pengundi Melayu juga merupakan majoriti berbanding pemilih kaum lain.
“Jadi apabila letak calon Melayu, Insya-Allah dapat 90 peratus sokongan dan kaum lain yang jelas tidak sokong calon DAP,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu dijadual pada 11 Mei ini dengan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.
Sejumlah RM2.5 juta dijangka diperuntukan untuk PRK ini selain seramai 40,226 pemilih terlibat yang merangkumi 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi luar negara. – UTUSAN











