Mukadimah
ADA desas-desus dan bayangan yang menyatakan PIlihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan tahun ini. Angin terus bertiup kencang apabila cerita tentang politik di negeri tersebut terus berlegar di dada akhbar.
Sejauh mana kebenaran itu tidak dapat dipastikan. Yang pasti, keunikan landskap politik Sabah memberikan pendekatan dan strategi berbeza untuk meraih sokongan seandainya PRN terjadi dalam tempoh terdekat.
Justeru Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI , JUANI MUNIR ABU BAKAR dan ASLINDA NASIR menemu ramah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, DATUK SERI BUNG MOKTAR RADIN bagi mendapatkan pandangan beliau.
Turut membantu jurugambar FARIZ RUSADIO dan FARIS IDERIS.
SUDAH SUSUN STRATEGI
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan prestasi UMNO Sabah seandainya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat?
BUNG MOKTAR: Sebetulnya UMNO Sabah telah bergerak daripada peringkat awal untuk berjumpa dengan jentera di peringkat akar umbi. iaitu kita mula dengan Jelajah Gerak 17. Saya namakan Gerak 17 ini untuk persiapan berdepan dalam PRN Sabah nanti.
UMNO Sabah bersedia berdepan dengan apa juga pilihan raya dan dengan mana-mana parti sekalipun.
Kita zahirkan keyakinan ini sebab kita sudah menyusun strategi dan telah memperkuatkan jentera di semua peringkat. Selain itu, kita juga mengadakan pelbagai aktiviti yang walaupun mungkin dilihat menggunakan kos kecil dan sederhana tetapi berimpak tinggi.
Ini penting sebab pilihan raya khususnya di Sabah ini memang terdapat macam-macam rintangan dan cabaran yang kita perlu hadapi. Persiapan awal dan secara rapi penting. Saya selalu menggunakan slogan di mana saja tempat saya pergi. Kalau mahu menang kita buat kerja dengan mengikut cara orang mahu menang. Dari situ, kita mengorak langkah sampai henti walaupun di bulan Ramadan sekalipun.
Kita menjelajah dari satu bahagian ke satu bahagian tanpa henti dengan melibatkan bahagian seperti Sandakan, Kinabatangan, Lamag dan sebagainya. Maka, kita akan teruskan sehingga Hari Raya nanti untuk menjelajah ke semua 73 DUN di Sabah
Bagaimana dengan persediaan parti termasuk calon sendiri setakat ini?
Calon Insya-Allah ada beberapa tempat kita sudah kenal pasti dan ada beberapa tempat yang sampai mempunyai dua calon.
Namun, ini kita perlu teliti dari semasa ke semasa sebab saya akan meletakkan calon yang rakyat mahu bukan yang saya mahu.
TIADA PEMBANGUNAN DI SABAH
Apakah isu penting yang perlu ditangani di Sabah untuk memenangi hati dan jiwa rakyat di negeri ini?
Isu sebetulnya jelas dan terang di mana dalam empat tahun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus memerintah, tidak ada memperlihatkan satu pembangunan Sabah pun. Yang ada slogan ‘Sabah Maju Jaya’ sahaja. Boleh dikatakan papan tanda slogan ini ada di setiap penjuru di Sabah. Masalahnya ‘Sabah Maju Jaya’ terpampang tapi di bawahnya jalan berlubang-lubang.
Itu belum lagi isu ketiadaan air yang menyebabkan rakyat sengsara. Jadi, masalah pertama bekalan air bersih. Kedua bekalan elektrik dan jalan raya.
Ini semua menjadi kekangan kepada masyarakat di Sabah untuk membangun. Sebab apa? Sebab tiada air sehingga hari ini. Majoriti rakyat Sabah bukan sahaja di luar bandar yang menderita akibat masalah ini tetapi turut melibatkan masyarakat bandar.
Selepas itu, sekarang ini kita sibuk mencari tangki, bayar lori untuk bekal air kepada penduduk.
Kerajaan tiada perancangan dan apabila tiada perancangan bagaimana mahu mengatasi masalah ini?
Untuk pengetahuan awak, di Sabah satu-satunya negeri yang tiada empangan. Negeri ini mengharapkan air sungai. Apabila air sungai kering bermakna Sabah dalam situasi gentinglah.
Sepatutnya kerajaan yang pegang Sabah ini seharusnya ada perancangan jangka pendek dan panjang untuk negeri. Masalahnya sekarang ini situasinya teruk sampai ke tahap hampir-hampir tiada minuman.
Ini bukan suara saya tetapi ini apa yang disuarakan rakyat. Kita suarakan isu rakyat kepada kerajaan sedia ada. Isu utama perlu diselesaikan. Insya-Allah UMNO Sabah ada perancangan terperinci apabila diberi mandat untuk selesaikan isu yang mereka hadapi ini. Malah ini juga akan kita masukkan dalam manifesto nanti.
ANGGAP UMNO ‘PARTI MALAYA’
Adakah isu-isu di peringat Persekutuan memberi implikasi kepada sokongan rakyat Sabah kepada UMNO nanti?
Sedikit sebanyak ada. Tapi di Sabah senarionya berbeza. Pihak lawan dan parti kerajaan menganggap UMNO ini ‘parti Malaya’. Itu sahaja permainan mereka ini. Tiada isu lain pun.
Saya ingat ada antara mereka yang sampai ke satu tahap menyarankan UMNO tidak perlu pun bertanding di Sabah. Tapi kita sudah menjelaskan bahawa UMNO Sabah sudah mendapat autonomi (soal calon dan kerusi) dan bukan orang Semenanjung pun yang mengetuai parti.
Malah, saya pun orang Sabah dan kawan -kawan saya pun orang Sabah. Kuasa autonomi ini sebenarnya untuk PRN dan kita buat keputusan (autonomi) dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Untuk PRN nanti autonomi terpakai untuk Sabah. Kecuali untuk pilihan raya umum (PRU). Barulah kuasa sepenuhnya kepada Presiden dan juga BN.
Justeru bagi saya perkara ini penting untuk diperjelaskan agar rakyat faham UMNO Sabah ini autonomi mutlak. Rakyat tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya UMNO Sabah di jajah Semenanjung Malaysia.
SUDAH ADA BAYANG-BAYANG
Bagaimana hubungan dan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan)?
Gerak kerja memang kerap kali kita buat cuma masih belum buat keputusan muktamad sama ada boleh berkolaborasi dengan Warisan.
Sebagai contoh program kita dihadiri Warisan dan program yang dianjurkan Warisan BN dan UMNO pun hadir. Ini jelas menunjukkan sudah ada bayang-bayang kita menuju ke arah kerjasama.
Malah, kita juga meneliti bukan hanya Warisan sahaja (untuk bekerjasama) tapi parti-parti lain yang kita boleh rasakan untuk bergabung dan memenangkan kita. Kalau ia selari (perjuangan) dengan kita pertimbangkan.
Mereka tahu apa kita mahu dan begitu juga sebaliknya. Kita ada keyakinan kedua-kedua pihak (UMNO dan parti yang bekerjasama) ada ketulusan untuk menentukan hala tuju dan mengatasi masalah di Sabah.
Namun begitu, apa yang pasti kita tidak mahu bersama-sama parti yang pernah menipu dari peringkat awal sampai ke hujung. Itu kita tidak boleh bekerjasama.
MANA-MANA PARTI PUN BOLEH
Boleh Datuk namakan parti mana yang akan menjalinkan kerjasama selain Warisan?
Itu saya katakan sebelum ini. Mana-mana parti pun boleh untuk menjalinkan kerjasama, asalkan mereka ada keikhlasan dan benar-benar berjuang untuk membangunkan negeri Sabah.
Untuk menang PRN nanti mungkin ada peluang. Tetapi harus diingat setelah menang nanti bagaimana untuk mengisi dan mengekalkan kemenangan itu pula.
Kita juga harus meletakkan misi pertama untuk mengeluarkan Sabah daripada carta kemiskinan selama 61 tahun ini. Awak bayangkan Sabah miskin 61 tahun. Jadi, misi kita lepas menang ini adalah untuk keluar daripada carta tersebut.
Bayangkan ada lapan daerah termiskin dan termundur di Malaysia ada di Sabah. Walhal Sabah ini berpotensi untuk berkembang dan dibangunkan lagi.
Tetapi masalahnya kerajaan negeri yang ada sekarang tidak ada mencari nilai tambahan untuk ekonomi. Mereka hanya bergantung kepada produk utama sahaja.
Pertamanya, mereka bergantung kepada royalti minyak sebanyak RM26 bilion tiap-tiap tahun. Selepas itu royalti hasil sawit. Itu sahaja. Tiada pendapatan tambahan lain. Kalau tiga perkara ini sudah tiada tentu ekonomi Sabah mundur. Sepatutnya kerajaan perlu mencari nilai tambah bagaimana untuk mengembangkan ekonomi negeri.
Selain itu, fasiliti seperti elektrik dan air kena ada. Ini tidak, sumber tenaga pun cukup-cukup sahaja.
Jadi, bagaimana mahu panggil pelabur? Awak fikir mereka mahu datang? Masalahnya kerajaan negeri umum berbilion-bilion pelaburan datang dan cakap peluang pekerjaan sentiasa terbuka. Akan tetapi realitinya tiada. Apa yang ada hanyalah ada tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) sahaja. Itulah yang dibanggakan.
KENAPA DULU TAK SUARAKAN?
Datuk pernah ada bersama dalam pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Nor sebelum ini. Mengapa tidak dibincangkan tentang hal-hal pembangunan?
Sebetulnya saya pernah berbincang tentang isu air. Saya pun ada rancangan jangka pendek dan jangka panjang. Akan tetapi ketika itu Kabinet kata belum sesuai (untuk membincangkan isu air) sehinggalah saya keluar.
Ada berbincang dengan PH Sabah untuk kerjasama?
Belum lagi kita bincang. Kita mahu tunggu dahulu. Lagipun, PH di Sabah baru dapat kepimpinan selepas 17 ahli cabang dipecat. Kemudian ada pemilihan baru-baru ini. Nanti baru kita akan bincang semula.
BERI PELUANG ORANG BAHARU MENONJOL
Datuk Seri antara pemimpin yang garang di Parlimen sebelum ini dan kini bersifat sebaliknya. Mengapa?
Saya sudah menjangkau enam penggal. Jadi, kebiasaannya untuk sesiapa yang sudah lama, kita beri peluang kepada muka baharu untuk menonjol ke hadapan. Tetapi kadang-kadang ada juga isu tertentu yang saya mahu ketengahkan dan saya tidak mahu ketinggalan.
Lebih-lebih lagi kalau melibatkan isu rakyat dan kritikal saya pasti akan suarakan. Dari dulu lagi. Inilah matlamat yang saya mahu perjuangkan untuk rakyat Sabah yang tidak berpuas hati dengan dasar serta polisi kerajaan sedia ada.
CALON PENGGANTI
Siapakah calon yang difikirkan sesuai menggantikan Datuk Seri untuk mengetuai UMNO Sabah selepas ini?
Karakter pemimpin itu berbeza. Cuma saya yakin akan ada pemimpin yang boleh menggantikan tempat saya pada masa akan datang.
Cuma pembawaan itu berbeza. Pada saya apa yang paling penting, pemimpin itu mampu memperkasakan parti dan mampu melihat isu rakyat. Sebabnya, sebagai sebuah organisasiberparti ini kita berdepan masyarakat dengan jiwa rakyat yang ada pelbagai rintangan dan masalah.
Sebagai sebuah parti politik, kita harus ke depan untuk mengatasi semua masalah rakyat terutama di Sabah. Kalau kita tidak berjaya memenangi jiwa rakyat sudah tentu kita akan ditolak nanti.
REKOD UMNO
Bagaimana Datuk boleh meyakinkan Warisan untuk bekerjasama sedangkan sebelum ini UMNO mempunyai rekod menarik diri daripada kerajaan GRS?
Dalam politik ini. memang betullah istilah tiada musuh tetap dan tiada kawan berpanjangan. Itu memang betul-betul berlaku.
Analoginya macam merisik. Secara automatik boleh suka antara satu sama lain kalau ada minat dan kepentingan yang sama. Maka kita boleh berbincang dan bergabung. Dan ini nampak semasa saya dalam GRS dulu.
UMNO lah tulang belakang kerajaan. Akan tetapi apabila UMNO didiskriminasi, diperkecilkan dalam kerajaan, saya sudah tidak senang hati.
Kalau saya fikirkan jawatan saya dulu, sudah pasti saya akan kekal dalam kerajaan sehingga hari ini.
Tetapi, parti saya mengecil dan peranan tidak diberikan. Malah jawatan semua mereka ‘sapu’. Jadi, apabila ada masalah, UMNO secara tiba-tiba pun terkait, ada kelemahan dan kecuaian. Justeru saya terus fikir bagaimana mahu pastikan kita terus kekal?
Pada masa itu, ada yang cakap bagi tempoh sampai tiga tahun. Tetapi saya cakap PRN pun sudah tidak lama. Kalau kita masih kekal begini kita akan hancur dan rakyat pasti menolak kita.
Jadi, saya fikir kita mesti mencari jalan bagaimana mahu bentuk jajaran baharu. Bagaimanapun, oleh kerana ada pengkhianat dalam parti, maka kita tidak dapat membentuk kerajaan.
Apabila ini berlaku, kita pun tariklah sokongan dan tidak mahu terlibat dengan GRS lagi. Sebenarnya, kita boleh lihat mereka tiada rancangan pun untuk senangkan rakyat Sabah. Sebagai contoh, bagaimana mahu mengatasi masalah air, jalan raya dan kemiskinan.
Kena adalah perancangan jangka pendek dan panjang. Jadi, apabila berlaku sebegini saya fikir UMNO tidak sesuai dengan mereka.
RAKYAT BAWAHAN TAK NAMPAK
Bagaimana Datuk melihat kerjasama Kerajaan Perpaduan setakat ini? Adakah mampu kekal sehingga PRU-16?
Sebetulnya saya tengok memang jelas dengan terbentuknya kerjasama ini lebih-lebih lagi di peringkat UMNO.
Saya melihat Kerajaan Perpaduan juga perlu melihat masalah rakyat secara total di mana rata-rata rakyat di luar mengatakan Kerajaan Perpaduan perlu melakukan sesuatu untuk mereka terutama berkaitan sara hidup dan ekonomi.
Ini jelas rintihan daripada pihak kontraktor dan usahawan sederhana. Tiada program secara menyeluruh kepada impak pemulihan ekonomi walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebetulnya berusaha meningkatkan ekonomi negara.
Mungkin untuk peringkat bawah rakyat tidak nampak lagi apa yang dibuat Kerajaan Perpaduan. Jadi, ini penting untuk dilihat pemimpin yang ada supaya kita tidak mahu nanti menjelang PRU kerajaan ini ditolak rakyat.
PERPECAHAN PENYOKONG
Adakah berlaku perpecahan dalam parti apabila ada segelintir menyokong Hajiji dan pada masa sama berlaku percanggahan pendapat antara beberapa pemimpin lain termasuk ada menentang kerjasama dengan Warisan serta ada yang mengatakan belum dimuktamadkan?
Yang sebetulnya saya hendak jelaskan, kita kena faham perbezaan di antara perbincangan dan keputusan. Perbincangan antara pemimpin dalam parti (untuk kerjasama dengan Warisan) itu telah kita lakukan. Cuma keputusan kita belum buat.
Walau apa pun, yang penting UMNO kena kembali memerintah dan.mengembalikan maruah bukan sahaja di Sabah tetapi di Semenanjung. Ia penting untuk UMNO memainkan peranannya semula.
Betapa pentingnya UMNO dan BN Sabah untuk menang dalam PRN nanti sebab tempiasnya akan kena pada Semenanjung juga nanti.
PARTI YANG MENANG TANGGUNG HUTANG
Apabila Datuk Seri membangkitkan isu pembangunan dan dalam masa sama UMNO pernah memerintah sebelum ini, tidakkah ia akan menjadi backfire kepada Datuk Seri?
Kita lihat dalam GRS ini ada pemimpinnya daripada UMNO. Mereka juga menteri. Dia kata masalah ini berpanjangan kerana dipikul daripada kerajaan lalu.
Saya akui dalam ucapan saya tentang isu air ini, ia sudah ‘melimpah’ 60 tahun. Daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sehinggalah kepada UMNO dan Warisan, memang akan ada isu ini. Akan tetapi, kerajaan yang menang apabila mentadbir perlulah bertanggungjawab. Bukan asyik salahkan kerajaan lalu.
Analoginya mudah. Macam hutang kerajaan. Parti yang menang menjadi kerajaan, dia perlu tanggung hutang. Begitu juga apabila membabitkan isu air di sini. Seharusnya kena ada perancangan bagaimana hendak selesaikan masalah ini satu demi satu. – Mingguan Malaysia










