KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,230 projek teknologi hijau bernilai RM41 bilion diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, negara menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam pelaburan berteknologi hijau.
Menurut beliau, majoriti projek teknologi hijau yang diluluskan oleh MIDA adalah bagi segmen projek solar.
“Berkaitan perkembangan terkini pelan strategik dalam pelaburan teknologi hijau, ingin dikongsikan bahawa Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan pada tahun 2023 telah menetapkan sasaran yang jelas ke arah mencapai Net Zero seawal tahun 2050.
“Kedua-dua Pelan tersebut adalah saling melengkapi yang mana Pelan Tindakan 3.2 di bawah Misi 3 (Push for Net Zero) NIMP 2030 berkaitan Peralihan kepada TBB dan tenaga bersih adalah selari dan berkait rapat dengan inisiatif Kecekapan Tenaga dan TBB di bawah NETR,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Dr. Dominic Lau yang meminta kementerian menyatakan perkembangan terkini mengenai pelan strategik untuk meningkatkan pelaburan teknologi hijau.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, kerajaan sedar bahawa keupayaan untuk memenuhi permintaan penggunaan tenaga hijau merupakan antara faktor penting yang diambilkira oleh para pelabur dalam membuat keputusan untuk mengembangkan projek pelaburan.
“Kerajaan melaksanakan beberapa langkah dan inisiatif yang berkaitan. Dalam hal ini, Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2024 membincangkan dan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“(Iaitu) supaya satu kajian jangka masa pendek dilaksanakan bertujuan mengenal pasti strategi meningkatkan pelaburan hijau, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau. Kajian tersebut juga antara lain, akan mengenal pasti senarai keutamaan pelaburan hijau dan sinergi antara peluang pelaburan hijau dan sektor yang dikenal pasti,” katanya. –UTUSAN










