PETALING JAYA: EdgePoint Towers Sdn. Bhd., sebahagian daripada EdgePoint Infrastructure (EdgePoint) bekerjasama dengan Celcom Timur Sabah (CT Sabah) untuk membina infrastruktur sambungan peringkat terakhir sebagai komitmen mereka untuk meningkatkan kesalinghubungan di Malaysia Timur.
Melalui perkongsian tersebut, CT Sabah akan menyambungkan rangkaian utamanya dengan 50 lokasi infrastruktur EdgePoint di Sabah.
Kerjasama ini juga membolehkan EdgePoint menawarkan struktur sambungan gentian lengkap untuk pengendali-pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dengan menghubungkan struktur sedia ada dan yang akan datang di seluruh negeri kepada rangkaian gentian CT Sabah.
Ketua Pengarah Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin berkata, kerjasama tersebut adalah untuk memberi tumpuan kepada menyediakan sambungan yang boleh dipercayai
melalui infrastruktur peringkat terakhir.
“Dengan menggabungkan kekuatan EdgePoint dan CT Sabah, kami dapat membina infrastruktur digital yang teguh yang akan membawa kesalinghubungan yang bermakna kepada rakyat negeri itu.
“Ini selaras dengan komitmen kami untuk menyokong usaha pendigitalan nasional dan mempromosikan ekuiti digital di negara kita,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif CT Sabah, Zurinah Datuk Hanafiah berkata, pihaknya memang menantikan perkongsian kerjasama dengan EdgePoint yang dapat memanfaatkan kepakaran masing-masing.
“Kerjasama ini akan memperkukuh usaha berterusan CT Sabah untuk meluaskan perhubungan di seluruh Sabah. Tambahan pula, ia akan mendorong kemajuan pendigitalan, memupuk pembangunan dan inovasi dengan rantau ini,” ujarnya.
EdgePoint kini mempunyai 1500 lokasi di Malaysia, dengan 71 lokasi di Sabah dan Sarawak.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai EdgePoint dan CT Sabah, layari https://edgepointinfra.com/ dan https://www.ctsabah.com.my/. – UTUSAN










