PONTIAN: Karipap atau epok-epok merupakan makanan popular di Malaysia, Brunei, Thailand dan Singapura yang mengandungi pelbagai perisa bergantung kepada intinya, sama ada kentang, daging dan sardin.
Namun bagi seorang peniaga kuih-muih di bazar Ramadan Pekan Ayer Baloi, Ramli Basri, 59, dia menampilkan jualan karipap besar atau karipap gergasi bagi menarik perhatian pembeli.
Katanya, bagi permulaan, dia hanya menjual 20 keping karipap gergasi yang dibuat oleh anaknya, Siti Soleha, 27, bagi mencari kelainan berbanding karipap biasa.
Ramli, bapa tunggal kepada lapan orang anak ini memberitahu, selain karipap gergasi dia juga menjual pelbagai kuih-muih dibuat sendiri oleh ahli keluarganya
“Karipap gergasi ini mengandungi inti ayam, kentang dan telur yang dijual RM5 sekeping,” katanya ketika ditemui disini, baru-baru ini.
Ramli menambah, biasanya proses menyiapkan karipap gergasi itu mengambil masa dua jam termasuk menguli tepung, membentuk karipap, memasukkan inti dan menggoreng.
“Anak saya (Siti Soleha) yang membuatnya dan permulaan sebanyak 20 keping dibuat untuk dijual di bazar Ramadan tahun ini,” ujarnya.
Berikutan sambutan yang baik, Ramli mungkin menambah jumlahnya selepas ini bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati karipap gergasi tersebut.










