ARAU: Isu kelewatan bekalan benih padi perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib bagi menggelakkan permasalahan sama berulang pada musim tanaman pertama untuk tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim berkata, penghantaran benih padi pada musim ini seharusnya mencukupi bagi membolehkan pesawah dapat menguruskan tanaman mereka selari mengikut jadual dikeluarkan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Katanya, tanaman padi tidak dapat diuruskan mengikut jadual sekiranya isu itu gagal diatasi dan akan menyebabkan permasalahan berlarutan walaupun bekalan air mencukupi.
“Saya tak nampak bekalan air itu menjadi isu besar kerana jika dilihat kebanyakan kawasan sawah sudah dibajak bagi memulakan musim pertama 2024 ini. Cumanya permasalahan berkaitan padi benih itu perlu diberi perhatian agar isu sama tidak berulang,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan kira-kira 71,000 pesawah kawasan MADA berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim sekiranya mereka lewat mengusahakan sawah disebabkan ketiadaan benih padi.
Isu kelewatan mengagihkan benih kepada pesawah di Kedah dan Perlis bawah MADA yang semuanya berkeluasan 100,000 hektar bukan perkara baharu tetapi berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan berkata, harga benih padi yang masih belum ditetapkan sehingga kini juga dibimbangi bakal mengundang kepada permasalahan sama pada musim ini.
“Berdasarkan jadual bagi fasa satu ini, air akan mula masuk ke kawasan sawah bermula pada 17 April depan dan harapannya adalah agar isu benih padi ini tidak berulang,” katanya.-UTUSAN










