KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menyarankan kerajaan supaya segera melaksanakan pembenihan awan akibat cuaca panas dan kering ekoran fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga bulan Mei ini.
Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, yayasan itu berharap proses tersebut dilaksanakan kerajaan sebelum Hari Raya Aidilfitri, bukan menunggu situasi menjadi kritikal.
“Cuaca panas dan kering yang berlaku ketika ini menyumbang kepada pembakaran hutan dan keadaan berjerebu yang boleh menjejaskan kesihatan dan pertanian.
“YPNM ambil contoh di Pahang, lebih 30 hektar hutan terbakar akibat cuaca panas dan kering ketika ini. Jadi kita harap kerajaan tidak perlu tunggu situasi menjadi kritikal, segera laksana pembenihan awan,” katanya di sini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan cuaca panas yang melanda negara ketika ini akan berlarutan sehingga April dengan kemuncak bermula penghujung bulan ini.
Pakar meteorologi, Prof Dr. Fredolin Tangang dilaporkan berkata, gelombang panas disebabkan El Nino dijangka berterusan sepanjang bulan ini dengan keadaan kering dan panas terutama di Utara, Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia serta Sabah.
Fredolin berkata, kini cuaca berada di musim perantaraan monsun, dengan kebiasaannya hanya kawasan Pantai Barat yang menerima lebihan hujan berbanding Pantai Timur.
Mengulas lanjut, Firdaus menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan.
“Yayasan juga menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas terik.
“Cuaca panas terlampau boleh mengakibatkan seseorang individu itu mendapat dehidrasi dan strok haba. Kematian akibat strok haba pun sudah berlaku di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










