Beri masa enam bulan sebelum laksana keperluan nombor pengenalan cukai temu janji Puspakom - YPNM - Utusan Malaysia

Beri masa enam bulan sebelum laksana keperluan nombor pengenalan cukai temu janji Puspakom – YPNM

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan diminta memberikan masa enam bulan sebelum menguatkuasakan keperluan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) bagi temu janji di semua cawangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, lanjutan masa itu perlu bagi membolehkan syarikat korporat atau individu membuat persediaan untuk mendapatkan invois elektronik (e-Invois) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk urusan di Puspakom.

Beliau berkata, notis dikeluarkan berhubung keperluan itu terlalu singkat iaitu pada 22 Julai dan berkuatkuasa 25 Julai lalu.

“YPNM berharap kerajaan memahami apa yang dialami oleh syarikat korporat dan individu apabila kenderaan mereka tidak boleh menjalani ujian Puspakom dan membayar cukai jalan disebabkan oleh kelewatan memperoleh e-Invois.

“Akibatnya, kenderaan dimiliki tidak boleh bergerak dan digunakan untuk aktiviti perniagaan. Ini sekali gus menjejaskan pemandu kenderaan yang hilang punca pendapatan kerana terpaksa bercuti.

“Situasi ini juga boleh menyebabkan masalah logistik negara apabila ia mengganggu semua pengangkutan bekalan dan perniagaan termasuk sementara mendapatkan e-Invois,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Puspakom menyarankan semua pelanggan untuk mempunyai Nombor Pengenalan Cukai (TIN) sebelum membuat janji temu di semua cawangannya bermula 25 Julai lalu.

Puspakom dalam kenyataannya dilaporkan berkata, perkara itu dilaksanakan selaras dengan penguatkuasaan sistem invois elektronik atau e-Invois oleh LHDN.

Langkah ini bertujuan menyelaras dan meningkatkan sistem percukaian negara serta menggalakkan ketelusan dalam urusan kewangan atau percukaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN