PARIS: Kebakaran hutan berskala gergasi yang sedang memusnahkan kawasan barat daya Perancis kini membentuk fenomena awan api yang amat berbahaya, kata jurucakap Persekutuan Anggota Bomba Kebangsaan (FNSPF) kepada AFP.
Menurut FNSPF, fenomena itu dikenali sebagai pyrocumulonimbus yang amat berbahaya dan merupakan satu kejadian yang belum pernah disaksikan di negara berkenaan sebelum ini.
Awan seumpama itu yang turut dikenali sebagai cumulonimbus flammagenitus, biasanya kelihatan semasa letusan gunung berapi.
Dalam kes ini, ia berlaku apabila kebakaran hutan memanaskan udara berhampiran permukaan tanah secara melampau lalu menyebabkannya melonjak naik dengan pantas.
Udara yang menderu naik itu kemudian menjadi dingin dan membentuk awan api, satu jisim gelora yang mampu menjana anginnya sendiri serta memburukkan lagi keadaan kebakaran.
Sekiranya saiz awan itu menjadi terlalu besar, ia juga berupaya menghasilkan petir.
Sebelum ini, fenomena tersebut hanya kerap dilihat di kawasan yang berisiko tinggi mengalami kebakaran hutan seperti Australia dan Amerika Utara.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menggelar fenomena ini sebagai naga awan yang menghembuskan api.
Jurucakap FNSPF, Letnan Kolonel Eric Brocardi berkata, peningkatan suhu tanah di pusat kebakaran adalah sangat ekstrem sehingga haba yang melampau mendadak naik dalam bentuk turus.
Ia kemudian bertembung dengan jisim udara yang lebih sejuk di bahagian atas.
“Pertembungan ini menghasilkan pyrocumulonimbus atau awan api tetapi malangnya ia langsung tidak mengandungi kelembapan.
“Awan asap ini menjana sistem cuacanya yang tersendiri, menyebabkan apa sahaja di laluan lokasinya terbakar secara spontan,” katanya.
“Kilat terbentuk di dalam awan tersebut dan memancar ke arah bara api di darat. Ia sekali gus menyemarakkan lagi marakan api. Ia menghasilkan bunyi guruh yang bergemuruh rendah.
Meskipun kebakaran jenis ini kerap berlaku di Kanada dan Australia, ia adalah satu peristiwa yang belum pernah berlaku di Perancis.”
Menurut beliau, pihak penyelamat kini berdepan dengan kebakaran jenis perolakan yang berupaya mencipta anginnya sendiri. Angin tersebut sentiasa berubah arah, berbeza dengan kebakaran biasa yang merebak mengikut corak berbentuk kon.
Implikasinya, api merebak ke pelbagai hala dan membentuk berbilang barisan hadapan kebakaran menjadikan situasi tersebut sukar diramal sama sekali.
“Kami tidak dapat menjangka bagaimana api ini akan merebak kerana barisan hadapan kebakaran sentiasa beranjak. Kami tidak boleh menentangnya secara terus. Rancangannya adalah, pada satu-satu masa, kami akan mencari titik kelemahan api tersebut dan melancarkan serangan di situ.
“Penyelamatan hanya akan datang sama ada dari langit dalam bentuk hujan, walaupun ia perlu turun dengan lebat selama tiga hari berturut-turut atau dengan mencari jalan untuk mengarahkan api berkenaan ke kawasan di mana ia akan terpadam dengan sendirinya. Sebagai contoh, ke arah laut,” tambah beliau. – AFP










