Letak bahagian hal ehwal pengguna di bawah Jabatan Perdana Menteri - YPNM - Utusan Malaysia

Letak bahagian hal ehwal pengguna di bawah Jabatan Perdana Menteri – YPNM

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mencadangkan kerajaan supaya meletakkan bahagian hal ehwal pengguna yang berada di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pada ketika ini, isu-isu kepenggunaan begitu mencabar, bukan sekadar harga barangan dan makanan seharian tetapi meliputi pelbagai isu-isu yang lain membabitkan pengguna.

“Apabila kita menyentuh tentang hak pengguna, ia merangkumi lapan perkara utama iaitu mendapatkan keperluan asas, mendapatkan maklumat, mendapatkan keselamatan, menyuarakan pendapat, pendidikan pengguna, membuat pilihan, mendapatkan ganti rugi dan mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat.

“Hak-hak tersebut meliputi pelbagai kementerian lain selain KPDN, jadi adalah lebih tepat jika hal ehwal pengguna diletakkan di bawah JPM supaya isu-isu kepenggunaan dapat diatasi dengan cara lebih baik dan mantap.

“Pada ketika ini, isu kepenggunaan begitu mencabar, bukan sahaja berhubung kos sara hidup dan barangan keperluan harian, tetapi melibatkan kesihatan, kelestarian, pengangkutan, pengurusan ekonomi, keselamatan yang menjadi cabaran besar kepada pengguna,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, Majlis Gerakan Pengguna di bawah KPDN perlu dikaji dan dibuat rombakan besar-besaran di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Kepimpinan persatuan pengguna juga perlu diberi tempat dan ruang turut dilantik sebagai pelawat hospital, ahli majlis daerah, perbandaran, bandaraya dan di majlis-majlis tertentu di peringkat daerah dan negeri supaya dapat menyuarakan isu-isu kepenggunaan dan untuk menyelesaikan apa jua isu di peringkat daerah dan negeri.

“YPNM juga menyeru supaya peranan Majlis Penasihat Pengguna Negara di KPDN dikaji semula peranan dan fungsinya.

“Peranan kepimpinan pengguna perlu dimantapkan barulah pengguna-pengguna boleh dibimbing menjadi pengguna yang mempunyai daya upaya tinggi dalam menangani segala isu-isu kepenggunaan semasa dan dapat memahami persekitaran, sejurus dapat membantu diri sendiri dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, YPNM percaya jika bahagian hal ehwal pengguna diletakkan secara menyeluruh di JPM, ia boleh memberikan banyak manfaat kepada pengguna.

“JPM boleh terus mendapatkan isu-isu berkaitan dan runggutan berhubung apa jua masalah pengguna untuk ditangani segera kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN