Pesawah sengsara, kartel terus ‘berkuasa’

Pesawah sengsara, kartel terus ‘berkuasa’

Isu kebajikan pesawah tetap sama walaupun `kartel' padi membuat keuntungan besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketika kartel terus mewah, kehidupan pesawah terus senggara berikutan monopoli pihak terlibat yang mengawal harga dan bekalan benih sehingga menyebabkan petani terkesan seterusnya menanggung kerugian setiap kali musim penanaman padi.

Justeru, para pesawah menggesa kerajaan memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap kartel atau ‘mafia’ padi ini agar pesawah tidak terus menjadi alat kepada kartel atau syarikat besar ini mengaut kemewahan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, antara paling ketara permainan kartel-kartel ini adalah berkaitan harga dan kelewatan bekalan benih padi setiap musim, sekali gus menjejaskan jadual penanaman para pesawah.

Katanya, kesan daripada itu, jadual penanaman jadi berterabur dengan ada pesawah yang boleh mengusahakan awal dan ada yang terlewat seperti berlaku baru-baru ini.

Ujarnya, akibat kelewatan jadual penanaman tersebut juga menyebabkan pesawah terpaksa menanggung kerugian atau jika mendapat pendapatan sekali pun agak tidak setimpal.

“Akibat tindakan kartel-kartel yang memonopoli menentukan harga padi, benih ini mengakibatkan pesawah yang menjadi mangsa. Kehidupan pesawah bukannya senang dan terus terhimpit setiap kali musim penanaman padi akibat masalah berulang ini.

“Sejak satu dua musim kebelakangan ini, harga benih juga meningkat dengan lebih 50 peratus bekalan harga benih lebih RM50 sehingga RM60. Kartel-kartel ini terlalu berkuasa,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kartel atau ‘mafia’ padi didakwa dimonopoli empat ke lima syarikat besar sejak sekian lama dan telah mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman mendakwa, syarikat terlibat juga mempunyai kilang-kilang padi di bawah penguasaan mereka termasuk mengeluarkan benih.

Dakwa Marzukhi, kartel-kartel tersebut berperanan cukup besar yang menentukan harga padi, beras dan pembekal benih padi sehingga ada yang mengenepikan arahan kerajaan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia juga pernah melaporkan kira-kira 71,000 pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berdepan kerugian sehingga RM40 juta semusim jika mereka lewat mengusahakan sawah disebabkan tiada benih padi.

Isu kelewatan mengagihkan benih kepada pesawah di Kedah dan Perlis bawah MADA yang semuanya berkeluasan 100,000 hektar bukan perkara baharu tetapi berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, isu kartel yang memonopoli bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak sekian lama khususnya berkaitan benih.

Katanya, kartel-kartel tersebut perlu dibanteras agar manfaat kembali diperolehi pesawah.

“Kartel ini memperoleh keuntungan besar manakala pesawah ini hanya mendapat keuntungan kecil. Pihak kawal selia juga ada beberapa strategi atasi masalah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN