Benih padi: Dalam resit RM45, jual lebih RM50

Benih padi: Dalam resit RM45, jual lebih RM50

Petani dakwa pembekal benih padi jual lebih tinggi daripada harga disaran kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Terdapat kedai-kedai input pertanian didakwa menjual harga benih padi lebih tinggi daripada yang ditetapkan kerajaan iaitu RM45 sekampit sekali gus membebankan pesawah.

Malah Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban mendedahkan, terdapat kedai yang mengenakan caj tambahan sehingga harganya mencecah RM50 ke RM56 namun di dalam resit ditulis dengan harga RM45.

Bagaimanapun katanya, pesawah tidak ada pilihan selain terpaksa juga membeli dengan harga yang tinggi sekali pun kerana kesukaran mendapatkan bekalan benih padi ketika ini.

“Ada sesetengah kedai mereka jual dengan harga yang ditetapkan kerajaan RM45 sekampit (20 kilogram) namun mengenakan caj tambahan sehingga menjadikan harganya mencecah RM50 ke RM56.

“Caj tambahan itu tidak dimasukkan ke dalam resit sebaliknya mereka menulis dengan harga RM45 tersebut. Pesawah sememangnya tidak ada pilihan terpaksa membelinya,” katanya.

Tambah Mohd. Shazwan, masalah kelewatan dan ketiadaan bekalan benih musim ini dilihat antara paling teruk di mana sudah memasuki bulan November masih ramai yang belum memulakan tanaman padi.

Dalam pada itu katanya, pembekalan benih ini bermula daripada ladang atau syarikat pengusaha benih sebelum dihantar ke kilang-kilang untuk proses wap serta pembungkusan.

“Kemudian akan diedar kepada pembekal yang kemudian mengedar ke kedai-kedai. Pesawah akan mendapatkan bekalan di kedai atau melalui PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) yang juga mendapat bekalan daripada pembekal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×