Pemandu ‘van sapu’ tiada lesen bawa murid sekolah - Utusan Malaysia

Pemandu ‘van sapu’ tiada lesen bawa murid sekolah

Van sapu
ANTARA van yang diperiksa JPJ dalam Op Bas Sekolah yang dilaksanakan di seluruh negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada masa dan harga lesen memandu mahal menjadi alasan pemandu dipercayai ‘van sapu’ yang menjalankan khidmat pengangkutan pelajar sekolah selepas ditahan pihak berkuasa di sekitar Selangor, kelmarin.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, Op Bas Sekolah itu dijalankan pihaknya secara statik dan rondaan bermula kira-kira pukul 2 pagi.

Jelas beliau, sebanyak 72 kenderaan bas sekolah diperiksa dengan 34 daripadanya dikenakan tindakan lanjut. 

“Kesalahan yang dikesan dalam operasi itu antaranya enam kes tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh (lapan), tiada perlindungan insuran (enam) dan salah guna cukai jalan (19 kes).

“Bagi kesalahan tiada lesen, pemandu van persendirian memberi alasan harga lesen memandu terlalu mahal dan mereka mendakwa tiada masa pergi belajar memandu kerana sibuk bekerja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azrin, tindakan dilakukan pihaknya mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Operasi itu memfokuskan penguatkuasaan bas sekolah yang tiada permit dan pemeriksaan kenderaan bagi memastikan bas sekolah selamat digunakan pelajar.

“Pemandu dan pengusaha van persendirian diingatkan supaya memohon lesen pengendali yang sah untuk menjalankan perkhidmatan pengangkutan bas sekolah,” ujarnya.

Pada Mei tahun lalu, sebanyak 4,000 buah bas sekolah dilaporkan beroperasi secara haram di kawasan Lembah Klang dan jumlah itu menyamai jumlah bas sekolah yang berdaftar dengan pihak berwajib.

Lebih mengejutkan, operasi kenderaan haram itu agak sukar untuk dikesan kerana warna bas tersebut sama seperti bas sekolah biasa yang mempunyai permit.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya Dan Kuala Lumpur, Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, kegiatan licik pengusaha itu terbongkar selepas pihaknya menerima aduan berhubung perkhidmatan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×