PASIR MAS: Cubaan tiga lelaki untuk melarikan diri daripada diperiksa oleh pihak polis gagal selepas kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kampung Kedondong, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 malam itu, kesemua lelaki berusia 36 hingga 41 tahun berkaya diberkas polis untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, terdahulu pihaknya telah ternampak sebuah kereta berhenti di tepi jalan di kawasan Meranti di sini dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan cegah jenayah.
Menurutnya, menyedari kehadiran polis, pemandu kereta tersebut bertindak memecut kereta tersebut ke dalam kawasan kampung.
“Bagaimanapun, kereta tersebut kemudiannya terbabas di tepi jalan sebelum merempuh sebuah rumah semasa melalui laluan selekoh di Kampung Kedondong.
“Salah seorang suspek cuba untuk melarikan diri, namun berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kama Azural memberitahu, ketiga-tiga lelaki itu ditahan selepas dipercayai menghalang pihak polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Meranti.
Katanya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.
“Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas. Tindakan mengelak atau melarikan diri daripada diperiksa oleh pihak polis boleh
mendatangkan kecurigaan kepada pemandu kenderaan,” ujarnya.
Tambahnya, perbuatan tersebut boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.-UTUSAN










