BULAN puasa dan menu kampung memang tidak dapat dipisahkan.
Tidak lengkap rasanya jika berbuka puasa tanpa hidangan lauk-pauk tradisi yang mengembalikan nostalgia dahulu kala.
Bagi saya, masak lemak, sambal tumis dan kari antara hidangan sempurna saat berbuka puasa .
Bagi peminat lauk kampung seperti saya, ada satu restoran di Damansara, Selangor yang wajib anda cuba.
Restoran Lado yang terletak di Pavilion Damansara Height ini menyajikan hidangan selera kampung yang diinspirasikan dari seluruh pelusuk negeri.
Tetapi, yang paling memikat dan popular di sini adalah hidangan masak lemak citarasa Negeri Sembilan atau ‘nogori’.
Untuk bufet Ramadan kali ini, restoran yang terletak di tingkat lima ini menyajikan menu masak lemak daging salai dan siput sedut.
Menariknya, kuah masak lemak di sini memang lain macam. Pekat sungguh dan warna kuningnya juga cantik membuka selera sesiapa sahaja yang memandang.
Paling penting, bukan rupanya sahaja yang menarik, rasanya pun tidak kurang hebatnya. Dari segi teksturnya yang pekat sudah boleh diagak
yang kuah masak lemak itu penuh rasa dan aroma.

Benar, tatkala suapan pertama masak lemak daging salai singgah di mulut, saya sudah boleh merasa kuah masak lemak yang kaya dengan
santan, sedikit bau smoky dari daging dan sedikit pedas.
Bagi saya, tahap kepedasan adalah sekitar 5/10 sahaja menjadikan ia sesuai dinikmati oleh orang yang tidak tahan pedas.
Mungkin, rasa pedas itu tidak keterlaluan kerana ada rasa manis daripada santan yang digunakan.
Pengarah Urusan Lado, Cef Muze berkata, restoran berkenaan yang sememangnya menghidangkan masak lemak style ‘nogori’ sangat menitik berat tekstur kuah.
Katanya, kuah yang pekat akan menjadikan masak lemak lebih enak dinikmati bersama nasi putih.
“Istimewanya masak lemak kita adalah kita jaga tekstur kuah. Itu yang paling penting.
“Apa yang kami sediakan di sini adalah berdasarkan apa yang kami suka makan dan itulah juga yang dihidangkan kepada para pelanggan,”
katanya ketika ditemui di pelancaran Bufet Santapan Senja di restoran itu baru-baru ini.

DEKORASI KLASIK
Selain masak lemak, hidangan seperti terung goreng belacan, sambal tumis ikan tenggiri dan ikan keli sambal berlado antara yang menambat selera.
Gabungan menu klasik ini bersama sambal belacan dan pelbagai jenis ulaman yang tersedia memang mengasyikkan.
Apatah lagi makan dalam suasana seperti di dalam sebuah rumah kampung zaman dahulu memang betulbetul terlupa kenyataannya sedang berada di dalam sebuah pusat membeli-belah.
Rekaan dan dekorasi restoran ini sangat klasik dan eksklusif bagaikan sebuah rumah kampung.
Terdapat beberapa biji tingkap seakan rumah kampung yang terbuka luas diperbuat daripada kayu.
Ditambah pula dengan aksesori langsir nipis polos berwarna putih membangkitkan suasana klasik yang cukup minimalis.
Keseluruhan rekaan restoran berasaskan kayu dengan sedikit kerawang pada pintu masuk seakan hiasan hadapan rumah klasik zaman dahulu.










