PETALING JAYA: Ajinomoto Malaysia Berhad (AMB) menganjurkan Kempen Bersahur Bersama Seri-Aji 2024 bagi merevolusikan penyediaan sahur menjadi pengalaman berharga, cepat dan melazatkan sepanjang bulan Ramadan di 20 lokasi Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang.
AMB berkata, kempen itu turut untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan bersahur pada bulan Ramadan dan objektif utamanya termasuk menggalakkan pemakanan seimbang serta mempromosikan konsep sahur yang ringkas.
Jelasnya, syarikat akan mengedarkan pek produk yang memberi manfaat kepada 25,000 isi rumah di 20 lokasi PPR berbeza di sekitar Lembah Klang.
“Kami berharap langkah ini dapat meningkatkan kesejahteraan dan kesedaran penduduk terhadap kepentingan sahur dengan pilihan hidangan seimbang dan ringkas.

“Terdapat beberapa aktiviti menarik akan dianjurkan di PPR Seri Alam Fasa 2 dan Dewan PPR Lembah Subang 2 iaitu demonstrasi masakan secara langsung, pengedaran makanan, permainan, aktiviti seni pasir dan cabutan bertuah,” katanya dalam kenyataan.
Kempen itu akan bermula pada 14 Februari hingga 9 April 2024 dengan slogan “Konfem Senang, Konfem Sedap” dan peserta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai RM20,000 dalam peraduan Beli & Menang.
Hadiah utama bar emas seberat lima gram menanti lima pemenang bertuah, berserta hadiah mingguan TnG e-Dompet bernilai RM11,000 secara keseluruhan.
Pembelian produk Seri-Aji bernilai RM6 sudah melayakkan orang ramai untuk menyertai peraduan. Layari smartcooking.com.my untuk maklumat lanjut. – UTUSAN










