Remaja OKU kerdil hilang ditemukan lemas

Remaja OKU kerdil hilang ketika bermain air di longkang ditemukan lemas

Anggota bomba mengusung mayat remaja OKU yang lemas di kawasan Taman Saujana Impian, Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI – Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) kerdil yang dilaporkan hilang ketika bermain air di longkang di Jalan Rajawali 16, Taman Wawasan, di sini semalam ditemukan lemas, tengah hari tadi.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai,  Fairuz Helmi Mohd Ali berkata, mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh. 

Kata beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan remaja itu kira-kira 9 malam semalam sebelum menggerakan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kulai membabitkan tujuh anggota ke lokasi kejadian. 

Tambahnya, saksi kejadian memaklumkan remaja OKU lelaki berusia 17 tahun itu dipercayai bermain air di longkang bersama seorang rakan sebelum tergelincir ke dalam longkang dan hilang.

“Kerja kerja pencarian awal yang dilakukan di sekitar kawasan mangsa terakhir dilihat menemui jalan buntu setelah tidak berjaya mengesan mangsa.

“Operasi hari kedua ini kita memperluaskan kawasan pencarian melibatkan di sepanjang tali air, akhirnya berjaya menemukan mangsa kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh. Operasi ditamatkan pukul 1.28 petang tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, bapa kepada mangsa tidak tentu arah apabila anaknya tidak pulang ke rumah seperti biasa terus bertanyakan keberadaan remaja OKU itu kepada ibu bapa kepada rakan anaknya.

Lelaki itu bertindak menghubungi hubungi talian kecemasan 999 setelah mengetahui anaknya hilang selepas bermain air di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Kulai, Superintenden Tan Seng Lee ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Siasatan pihak polis mendapati tiada unsur jenayah berlaku. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×