Pengunjung Pantai Irama Bachok waspada ancaman ubur-ubur api

Pengunjung Pantai Irama Bachok waspada ancaman ubur-ubur api

KEBANYAKAN pengunjung tidak menghampiri pesisir pantai bagi mengelak disengat ubur-ubur di Pantai Irama, Bachok, Kelantan. UTUSAN/TOREK SULONG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Pengunjung Pantai Irama di sini, mengambil pendekatan dengan tidak bermain di kawasan pesisir bagi mengelakkan terkena sengatan ubur-ubur api.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan pengunjung menjauhi kawasan tersebut dan memilih berehat di bawah rimbunan pokok rhu dan mengambil angin di kawasan benteng.

Seorang pengunjung, Zawawi Ismail, 35, berkata, dia sudah mengetahui tentang larangan dan amaran bermain di kawasan pesisir selepas perkara tersebut tular di laman sosial Facebook selain maklumat dari pengawal pantai.

“Kebanyakan pengunjung akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh pasukan keselamatan berkait dengan bahaya jika terkena sengatan hidupan laut itu.

“Perkara ini tidak boleh diambil mudah, kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan termasuk melibatkan soal nyawa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bachok, Leftenan (PA) Mohd. Khairi Mat Hussin berkata, pihaknya telah memberi khidmat nasihat dan menyebar maklumat agar pengunjung pantai lebih berwaspada dengan ancaman ubur-ubur api itu.

Katanya, pada masa sama APM sudah melakukan kerja-kerja  membersih bangkai haiwan yang terdampar di kawasan tersebut termasuk Pantai Senok dan Pantai Melawi.

“Di Pantai Irama, APM menyediakan khidmat rawatan awal kepada mangsa yang terkena sengatan sebelum dirujuk ke klinik yang berdekatan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Pada 26 Februari lalu, Jabatan Perikanan Negeri Kelantan telah mengeluarkan notis berkait dengan ancaman ubur-ubur dari spesies Portuguese Man Of War Jellyfish yang dikesan terdapat di perairan Bachok dan sebahagiannya terdampar di beberapa pantai di daerah itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×