Kemana Kongres Ekonomi Bumiputra?

Ke mana Kongres Ekonomi Bumiputra?

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof melakukan gimik peluncuran pada Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini bermulanya satu lagi Kongres Ekonomi Bumiputra (KEB). Sebelum itu, elok menoleh kebelakang sejenak untuk melihat apa yang telah berlaku untuk mengambil iktibar sebanyak yang dapat.

Misalnya, kali pertama kongres ini diadakan adalah pada 1965, hampir 60 tahun yang lalu. Satu julat masa agak lama dan bermakna. Dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan satu hasil terpenting ekoran perjumpaan yang melibatkan hanya 500 orang wakil dari semua negeri di Malaysia.

Sepuluh kertas kerja merentasi pelbagai aspek dibincangkan serta 70 resolusi dilancarkan. Antaranya pembinaan Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB). Pada 1968, Kongres kedua pula memajukan 84 usul lain mengekori yang terdahulu. Ia memperlihatkan betapa Mara diamanahkan untuk memajukan bumiputera.

Maktab Mara ditingkatkan menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dengan bilangan penuntut bertambah dari 200 orang pada 1965 kepada 600 orang pada Julai 1966 dan meningkat kepada 900 orang pada 1968. Sementara bilangan kursus di ITM ditambah dari lima kursus di peringkat sijil pada 1965 kepada 19 kursus profesional peringkat diploma dan ijazah pada 1967. Pada 1968, tujuh kursus ijazah luar negara diperkenalkan. Sayangnya,dokumen penyertaan, prosiding, kertas kerja dan resolusi lengkap KEB kedua tidak dapat dikesan.

Mungkin kerana itu, hanya pada 1992 barulah kongres ketiga diadakan. Sementera itu peristiwa 13 Mei 1969 tercetus setahun selepas kongres sebelumnya membawa pelbagai soal yang tidak pernah timbul sebelum itu. Apatah lagi keyakinan yang kongres akan membawa perubahan asas, mudah dipertikaikan.

Justeru mewajarkan tindakan yang lebih pantas mengatasi usul-usul yang sebelumnya. Terkemuka sekali adalah Dasar Ekonomi Baru (DEB), bagaikan denyutan nadi penyelamat kaum bumiputera seluruhnya.

Segala persiapan serta sokongan lain digembleng seolah-olah KEB ketiga direhatkan selama dua dekad. Ia muncul semula tatkala gagasan Wawasan 2020 dikumandangkan setahun sebelum itu.

Maka semasa kongres ketiga diadakan, kerangka pemikiran serta pandangan alam mereka yang terlibat berganjak kepada sembilan cabaran Wawasan 2020 yang tersenarai.

Penentuannya melonjak keluar kotak. Yang utamanya, cabaran pertama: pembentukan bangsa Malaysia sebagai konteks yang baharu. Beberapa lagi bersifat nilai, sahsiah serta perhubungan dan cara hidup masyarakat bersatu padu lagi harmoni.

Hanya dua sahaja berkaitan ekonomi iaitu memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.

Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Dan yang sembilan, mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

MERENTASI EKONOMI
Adakah ini bermakna aspek ekonomi lebih bersandarkan tujuh faktor latar yang lebih penting lagi muktabar? Dengan kata lain, ekosistem yang menyeluruh semestinya dipelopori terdahulu sebelum ekonomi boleh pesat berkembang seimbang. Bukan sebaliknya.

Ekonomi tidak boleh berdiri sendiri dalam ekosistem tidak menentu. Apatah lagi iklim berpecah belah dilaknati rasuah. Yakni tidak berpaksikan moral dan beretika atau teguh dalam nilai agama dan kerohanian, menyalahi inti cabaran keempat Wawasan 2020.

Empat tahun kemudian pada 1999, kongres keempat pula menyusul. 10 kertas kerja dibentangkan, satu khusus mengenai Islam atas tema ‘Penerapan Nilai Agama Ke Arah Membina Insan Bumiputera Yang Berdaya Saing.’

Sebanyak 113 resolusi dihasilkan dengan 60 dari resolusi itu menyentuh soal dasar dan struktur yang memerlukan perhatian kerajaan,11 resolusi berkait Islam secara khusus dan dari bilangan tersebut antara yang utama menekankan bahawa agama Islam dan budaya Melayu harus menjadi tunggak bangsa dan perlu dijadikan landasan serta pedoman dalam segala dasar dan perancangan.

Seiring ini, bermula juga Kongres Ekonomi Islam. Kongresnya yang kedua, pada 1972, diadakan paling hampir tragedi 13 Mei berbanding KEB. Malangnya, rekod berhubung Kongres Ekonomi Islam pertama dan kedua dilaporkan tidak dapat diperoleh selengkapnya.

Apa pun, rusuhan 13 Mei 1969, umpama deringan loceng peringatan akan tahap pencapaian ummah dalam tempoh 12 tahun pertama Malaysia merdeka, dalam aspek-aspek penguasaan harta, kekayaan, urus niaga, juga penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran dan penguasaan jawatan-jawatan penting lagi utama, di samping penguasaan politik yang ketika itu turut tergugat, mengikut satu analisa.

Kesedaran untuk bersepadu, menghargai semangat bersatu teguh bercerai roboh, bangkit semula, lalu mengetepikan perbezaan malah memilih untuk merapatkan barisan sesama ummah.

Menjalin hubungan kerja, lantas membina titian perpaduan antara mereka, tidak kira siapa. Khususnya mereka yang asyik bertelagah disebabkan kefahaman politik dangkal lagi berlainan walaupun dalam satu rumpun dan ikatan akidah. Politik durjana terus mendapat sambutan hangat.

Kongres Ekonomi Islam Kedua juga berlangsung ketika Rukun Negara diperkenalkan dan ‘Revolusi Mental’ rancak diketengahkan. Tetapi tidak terpaut. Sewaktu perasmian kongres tersebut, Allahyarham Tun Abdul Razak mengingatkan bahawa peruntukan kewangan yang banyak tidak akan membawa makna, jika insan sendiri tidak memiliki sikap untuk mengubah nasib mencapai taraf hidup yang lebih tinggi.

Juga turut ditegaskan peri pentingnya para pakar dan pekerja dilengkapi nilai-nilai agama supaya menjadi insan yang seimbang. Begitu juga pentingnya ulama memahami kerumitan sektor ekonomi yang beraneka corak.

Masih banyak lagi yang boleh diperkatakan apabila menoleh kebelakang. Namun, memadai setakat ini kerana sudah pun sampai persimpangan yang seakan-akan sama. Orang Melayu berpecah-pecah, agama turut terheret. Lonceng peringatan berbunyi semula dengan lebih binggitnya.
Pada kali ini aspek moral, etika, kerohanian serta nilai lebih tersungkur dari mana-mana kongres yang lampau – baik bumiputera mahupun Islam!

Dalam pada itu, bilangan kehadiran berlipat-lipat kali ganda banyaknya berbanding 60 tahun lalu. Soalnya, adakah mutu hujah dan resolusi serta usul menampakkan hasil berani dan hikmah yang juga berlipat-lipat ganda? Meletakkan amanah seperti termaktub pada kongres terulung? Atau masih mengkhianati? Tepuk dada, tanyalah selera bangsa.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×