PETALING JAYA: Datuk Dr. Ammar Abd Ghapar belum menerima surat diturunkan ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Tourism Malaysia itu berkata, berikutan itu, beliau mungkin akan bercuti sehingga menerima pemakluman rasmi daripada pihak kementerian.
“Saya tidak ada apa-apa perancangan kerana belum terima surat tawaran dipindah ke jawatan baharu. Jadi sehingga terima surat tawaran, saya mungkin mohon cuti dulu,” kata beliau.
TERKEJUT
Walaupun mengakui terkejut khidmatnya sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia ditamatkan berkuat kuasa Isnin ini, namun beliau perlu menunggu sehingga segala-galanya selesai mengikut peraturan sebelum menentukan tindakan seterusnya.
Namun, beliau mempersoalkan kewajaran tindakan menamatkan perkhidmatannya hanya dilakukan dalam tempoh lima hari.
“Notis lima hari menamatkan perkhidmatan saya sebagai Ketua Pengarah mencalarkan imej dan maruah saya.
“Selepas berkhidmat selama 36 tahun saya tidak sepatutnya diperlakukan sebegini,” kata beliau.
Kelmarin, tular di media sosial surat bertarikh 22 Februari yang memaklumkan penamatan khidmat Ammar sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkuat kuasa pada 26 Februari ini.
Surat tersebut menyatakan, penamatan itu selaras dengan peruntukan subsekyen 10(1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 dibaca bersama dengan peruntukan seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967.
Ammar turut mempersoalkan tindakan itu tanpa mengetahui kesalahan yang dilakukannya.
BUKTIKAN
“Jika benar saya membuat kesalahan ketika menduduki jawatan tersebut, sepatutnya kerajaan perlu meneliti dan membuktikan terlebih dahulu setiap kesalahan yang didakwa dilakukan dan memberi peluang kepada saya memberi penjelasan.
“Seingat saya, sepanjang saya berkhidmat, saya rasa saya tidak pernah melawan atau mengingkar sebarang arahan”, kata beliau yang mengakui kecewa.
Ditanya hubungan beliau bersama King Sing, Ammar berkata, tiada sebarang pertelingkahan dan salah faham berlaku antara mereka sebelum ini.
Sementara itu, King Sing ketika ditemui selepas perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di ibu negara mengesahkan Ammar diturunkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah atas alasan prestasi tidak memuaskan.
Menurut beliau, Ammar tidak mempunyai perancangan untuk menambah baik sektor pelancongan negara termasuk tiada libat urus bersama negeri-negeri.
“Memang bulan tiga tahun depan dia (Ammar) pencen. Tetapi, untuk kebaikan industri pelancongan, saya tidak boleh biarkan sampai tahun depan baru ambil tindakan.
“Tengok Thailand boleh dapat 10 juta pelancong dari China sahaja, mengapa kita (cuma) dapat 1.2 juta?
“(Sedangkan) saya sudah maklumkan, misalnya pelancong China lima juta masuk, dia kata boleh tiga juta, (tetapi) tiga juta pun tak sampai,” katanya.
Mengulas lanjut, King Sing menafikan tindakan yang diambil itu adalah salah guna kuasa, sebaliknya, proses dalaman sudah diambil oleh Tourism Malaysia dengan beliau hanya menandatangani surat berkenaan.
Pada masa sama, beliau menambah, pihak kementerian sudah mempunyai calon pengganti Ammar yang juga merupakan individu daripada Tourism Malaysia. – UTUSAN










