PERGERAKAN pengakap tanah air telah bermula pada 1908 di Pulau Pinang. Sejak dari itu, ia berkembang dengan pesatnya ke seluruh negara. Dalam sejarah panjang lebih 100 tahunnya, pergerakan Pengakap di Malaysia menelusuri pelbagai evolusi dan perubahan selaras dengan perkembangan semasa.
Dari generasi ke generasi, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) proaktif dalam meneruskan kesinambungan evolusi itu agar terus kekal relevan dan berdaya saing. Salah satu kaedahnya adalah menerusi proses penyegaran jenama.
Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin sebelum ini menekankan usaha penyegaran jenama dalam memastikan PPM terus berkembang maju, pragmatik dan kekal relevan. Selain itu, penyegaran jenama akan mewujudkan sebuah imej yang segar baharu dan terkini seiring dengan visi dan misi semasa Pengakap Dunia.
Justeru, pada tahun ini, PPM akan melaksanakan usaha penyegaran penjenamaan yang melibatkan perubahan elemen seperti reka bentuk pakaian, program, latihan, tadbir urus dan sebagainya.
Dalam landskap yang dinamik kini, usaha penyegaran jenama yang berkesan adalah penting bagi organisasi seperti PPM untuk berkembang.
PLATFORM
Atas sebab itu, pada 26 hingga 28 Januari lalu, telah berlangsungnya Bengkel Penjenamaan Peringkat Pengenalan PPM yang dihadiri hampir 40 peserta dari seluruh negara. Ia membincangkan aspek penjenamaan bagi PPM, yang melibatkan ahli-ahli PPM bersama pakar-pakar bidang khusus (SME).
Bengkel ini berfungsi sebagai platform strategik untuk menyatukan pihak berkepentingan PPM iaitu pemimpin, pakar, dan pendidik dalam satu usaha kolaboratif. Ia bertujuan untuk menjana strategi penjenamaan inovatif yang sejajar dengan nilai-nilai PPM dan menarik kepada segmen muda-remaja.
Usaha penganjuran bengkel ini juga adalah sejajar dengan perancangan yang telah direncanakan oleh kepimpinan utama PPM sebelum ini, yang menyasarkan pelancaran penjenamaan baharu ini menjelang September 2024.
Justeru itu, dengan berkumpulnya perwakilan PPM dari pelbagai peringkat bersama pakar-pakar bidang berkaitan dalam bengkel ini, maka tercipta satu platform diskusi yang efektif untuk meneroka elemen-elemen penjenamaan yang perlu diberi perhatian dalam persekitaran semasa yang semakin pesat berubah ketika ini.
Dengan melibatkan warga PPM di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan bersama pakar-pakar dalam bidang penjenamaan serta bidang-bidang berkaitan, diharapkan terbentuk satu sinergi di antara mereka untuk menjana idea-idea baharu yang dapat melonjakkan usaha penjenamaan PPM.
Pada bengkel tersebut, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (Yang Menjalankan Tugas-tugas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara), Nasaruddin Shamsuddin turut berkongsi perspektifnya berhubung usaha penyegaran jenama PPM.
Beliau menegaskan, usaha ini perlu digarap bersama-sama semua warga PPM dalam memastikan usaha pejenamaan ini dapat dijayakan sebaik-baiknya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pengakap Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Penjenamaan PPM, Profesor Dr. Mohamad Salmi Mohd. Sohod berkata, usaha penyegaran jenama perlu seimbang dari segi luaran dan dalaman. Jelasnya, ia wajar memiliki form and substance yang saling melengkapi.
Bengkel sama turut menyaksikan perkongsian wakil pihak Pertubuhan Pergerakan Pengakap Dunia (WOSM) berhubung aspek penjenamaan selain turut menekankan elemen pengurusan media sosial dan pemasaran.
Secara keseluruhannya, bengkel ini merupakan langkah mempertingkatkan potensi penjenamaan PPM, merapatkan hubungan di antara ahli-ahli pengakap pelbagai peringkat dan membina landasan yang kukuh untuk usaha penjenamaan yang berjaya di masa hadapan.
Pada bengkel selama tiga hari dua malam ini, peserta telah didedahkan dengan pelbagai teori, perspektif dan amalan terkini dalam bidang penjenamaan. Mereka terlibat dalam sesi perbincangan, kajian kes dan aktiviti latihan yang dirangka khas untuk meningkatkan pemahaman berhubung strategi penjenamaan yang berkesan.
Selain itu, bengkel ini juga memberi peluang kepada peserta untuk bertukar pendapat, berkongsi pengalaman, dan membangunkan jaringan profesional yang boleh memberi manfaat jangka panjang kepada PPM.
Antara hasil yang diharapkan dari bengkel ini adalah penjenamaan yang lebih kukuh dan selaras dengan aspirasi serta nilai-nilai PPM, peningkatan kesedaran masyarakat terhadap peranan dan sumbangan PPM dalam pembangunan negara serta peningkatan sokongan serta penglibatan dari semua pihak terhadap aktiviti-aktiviti PPM.
Dengan penyertaan yang aktif dan komited dari semua pihak, dijangkakan usaha penyegaran jenama PPM akan memberi impak yang positif dan berkekalan dalam membawa pergerakan Pengakap Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi dalam memenuhi aspirasi dan misi mereka dalam menyumbang kepada pembangunan generasi muda negara.
Usaha penyegaran jenama PPM ini akan diteruskan dengan beberapa lagi siri bengkel pada bulan-bulan akan datang termasuk Bengkel Penjenamaan Peringkat Analisis, Bengkel Penjenamaan Peringkat Pertemuan dan akhirnya, penerbitan Pelan Pelaksanaan Penyegaran Jenama PPM pada September tahun ini.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).










