PETALING JAYA: Malaysia tegas berpendirian bahawa pendudukan Israel di Palestin adalah haram dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dalam Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berlangsung di The Hague, Belanda.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan menyampaikan ketegasan itu sewaktu kenyataan lisan dalam sesi pendengaran tersebut pada Khamis ini di samping menekankan hujahan berkaitan dasar dan tindakan Israel termasuk pendudukan berterusan dan aktiviti penempatan di Palestin yang dilihat mencabuli dalam menentukan nasib sendiri.
Katanya, penyertaan kali kedua Malaysia dalam sesi tersebut sejak 2004 adalah terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 30 Disember 2022 apabila negara ini menyokong dan menaja resolusi berkenaan.
“Pendapat Nasihat ini merupakan prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel pada 29 Disember 2023 kerana proses ini merupakan satu perkara penting untuk memperoleh nasihat perundangan badan kehakiman antarabangsa selaras Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.
“Sesi ini memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa, yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan di antara negara,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi pendengaran awam itu di Peace Palace, The Hague dari 19 hingga 26 Februari itu dijangka menyampaikan kenyataan lisan pada pukul 5.10 petang waktu tempatan, Khamis ini.
Menurut Mohamad, Malaysia dalam sesi pendengaran itu dijangka membangkitkan persoalan utama iaitu kesan perundangan yang timbul akibat pencabulan berterusan Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri, dasar dan tindakan memberi kesan status perundangan kependudukan dan kepada semua negara serta PBB.
“Penyertaan dalam prosedur Pendapat Nasihat ini melambangkan usaha bersepadu Malaysia di pelbagai platform antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menyokong Palestin dan membawa Israel ke muka pengadilan,” katanya.
Katanya, kehadiran Malaysia sebagai sebuah negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin di ICJ adalah penting untuk berganding bahu bersama-sama negara sepemikiran dalam mempertahankan isu-isu kemanusiaan sejagat.
Menurut beliau, ia selari dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa bersuara lantang mempertahankan hak rakyat Palestin serta sentiasa menekankan tanggungjawab moral komuniti antarabangsa menangani kekejaman oleh Israel terhadap rakyat Palestin tidak berdosa terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak.
“Saya ingin mengulangi pendirian teguh Malaysia bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin,” katanya. – UTUSAN










