Perbanyak fasiliti rawatan kanser negara

Perbanyak fasiliti rawatan kanser negara

NEGARA perlu perbanyakkan fasiliti rawatan kanser negara bagi memastikan pesakit mempunyai harapan tinggi untuk sembuh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memperbanyakkan fasiliti rawatan kanser di seluruh negara bagi memastikan pesakit mempunyai harapan lebih tinggi untuk sembuh.

Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr. Murallitharan Munisamy berkata, ini kerana peluang untuk pesakit kanser untuk pulih adalah tinggi kerana kaedah dan kualiti rawatan kanser pada hari ini berbeza jika dibandingkan dengan 10 atau 15 tahun yang lalu.

Namun, kata beliau, fasiliti khusus penyakit itu seperti Institut Kanser Negara sangat terhad sekaligus mengakibatkan ramai pesakit tidak mendapat rawatan dengan segera.

“Fasiliti sekarang tidak mampu untuk menampung jumlah pesakit. Kekurangan fasiliti itu juga mengakibatkan ada pesakit menghadapi masalah pengangkutan berikutan jarak hospital yang jauh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, tempoh menunggu rawatan kanser di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil masa sebulan bergantung kepada tahap kesihatan pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pakar perubatan akan terus membuat surat rujukan kepada hospital KKM sebaik sahaja pesakit yang hadir didiagnos memerlukan rawatan susulan.

Mengulas lanjut, Dr. Murallitharan berkata, tempoh menunggu rawatan kanser selama 30 hari di fasiliti KKM bergantung kepada tahap kesihatan pesakit.

“Tempoh satu bulan itu tempoh yang biasa untuk pesakit dan tidak terlalu lama yang mana pesakit perlu didiagnos dahulu sebelum ditentukan jenis rawatan.

“Ini kerana penyakit kanser akan merebak secara perlahan dan doktor tahu rawatan apa yang terbaik bergantung kepada tahap pesakit,” katanya.

Menurutnya, jika dahulu, pesakit yang lambat didiagnosis kanser seumpama tidak ada harapan untuk hidup.

“Namun, pada masa kini, kebanyakan pesakit yang mendapat rawatan dan diagnosis awal mampu kembali hidup seperti sedia kala bergantung kepada ubat-ubatan dan rawatan berkala,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×