JOHOR BAHRU: Seramai 650 murid sekolah dalam Parlimen Pulai menerima baucar membeli peralatan persekolahan sebanyak RM150.
Baucar bernilai RM150 sumbangan Yayasan Bank Rakyat itu diberikan kepada murid-murid dari golongan B40, asnaf dan ibu tunggal.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, bantuan persekolahan dari Yayasan Bank Rakyat itu dapat membantu golongan yang memerlukan bagi membeli peralatan sekolah untuk anak-anak yang akan mula bersekolah pada sesi penggal pertama pada Mac ini.
“Bantuan itu dapat meringankan bebanan ibu bapa yang berpendapatan rendah terutama mereka yang mempunyai anak yang akan bersekolah Mac ini,” katanya sempena Program Kembali Ke sekolah @ B2S Parlimen Pulai di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir Tampoi di sini.
Dalam program itu, Yayasan Bank Rakyat menyumbangkan RM50,000 yang disampaikan oleh Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani. – UTUSAN










