SHAH ALAM: Datuk Lee Chong Wei merupakan idolanya dan mahu menjadi sehebat legenda badminton Malaysia itu merupakan impian buat Alwi Farhan Alhasny, pemain remaja kelahiran Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia.
Alwi yang melakar sejarah selepas muncul pemain pertama Indonesia memenangi gelaran perseorangan lelaki pada Kejohanan Remaja Dunia di Spokane, Washington, Amerika Syarikat, tahun lalu, berasakan dirinya memiliki persamaan dengan Chong Wei.
“Kalau pemain luar negara, idola saya adalah Lee Chong Wei, saya rasa saya bisa bermain seperti beliau yang gemar menyerang.
“Saya gemar bermain agresif seperti Chong Wei, kalau di Indonesia, saya mengagumi Anthony Sinisuka Ginting yang juga gemar beraksi menyerang,” katanya ketika ditemui selepas menewaskan pemain Arab Saudi, Muath Alghamdi 21-2, 21-10 pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, semalam.
Indonesia yang merupakan pilihan kedua dan diletakkan dalam Kumpulan D tidak berdepan masalah untuk membenam Arab Saudi 5-0 dalam perlawanan pembukaan itu.
Menurut pemain berusia 18 tahun itu, diberi kesempatan beraksi pada BATC bersama skuad senior merupakan satu peluang keemasan yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh dirinya.
Jelas Alwi, beraksi di peringkat senior sangat jauh berbeza dengan saingan di peringkat remaja kerana lawan yang bakal dihadapinya bukanlah calang-calang pencabar.
“Aksi di peringkat senior bukan mudah, ia memerlukan fikiran yang sangat kuat kerana teknik dan fizikalnya sudah jauh berbeza.
“Selepas ini, kami bakal berdepan Korea Selatan, jika, saya diberi peluang diturunkan, maka, saya sudah siap untuk berjuang dan memberikan yang terbaik buat pasukan,” ujarnya.
Ketika ditanya pula mengenai peluang pasukannya pada BATC kali ini, pemain yang menghuni ranking ke-62 itu memberitahu, Indonesia telah menjuarai kejohanan itu sebanyak tiga kali dan tahun lalu, mereka muncul naib juara.
Justeru, pada tahun ini, Alwi berharap, Indonesia akan dapat mengulangi kecemerlangan itu, sekalipun mereka menurunkan rata-rata pemain muda.-UTUSAN











