Awas agenda golongan liberal

Awas agenda golongan liberal

AHMAD YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mengingatkan semua pihak berhati-hati dengan agenda besar kelompok liberal yang sentiasa tidak senang dengan peruntukan di bawah enakmen jenayah syariah negeri-negeri.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sesetengah pihak tidak perlu mengalihkan perhatian masyarakat bahawa kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid baru-baru ini melibatkan soal teknikal semata-mata dan seolah-olah tindakan itu tidak mempunyai implikasi yang besar.

Menurut beliau, sejak kes Juzaili Khamis dan rakan-rakannya, Syukor Jani dan Wan Fairol pada tahun 2015 lagi sudah jelas suatu ‘roadmap’ untuk mencabar peruntukan dalam enakmen jenayah syariah negeri.

“Juzaili Khamis telah memohon Mahkamah Sivil untuk mengisytiharkan peruntukan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 sebagai tidak sah. Beliau didakwa di bawah enakmen berkenaan kerana berpakaian seperti perempuan yang jelas merupakan suatu kesalahan daripada sudut agama dan bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 66.

“Kemudiannya, sebuah NGO Sister In Islam (SIS) Forum yang difatwakan sebagai ‘sesat’ dan ‘menyeleweng daripada ajaran Islam’ itu  turut mencabar peruntukan ‘semakan kehakiman’ yang terdapat dalam Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 66A ini tidak sah dan tidak berperlembagaan sekaligus mengecilkan peranan yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah. Ia merupakan titik tolak kepada lanjutan kepada kes-kes cabaran Perlembagaan pada hari ini.

“Kes yang lebih terkini melibatkan Iki Putra Mubarrak yang didakwa di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 kerana terlibat dalam pesta seks sejenis. Dalam cabaran perlembagaan kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan Seksyen 28 tersebut sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaab,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, isunya adalah ‘grand design’ kelompok liberal yang berusaha untuk terus menyudutkan undang-undang syariah di peringkat negeri dan perkara itu bukanlah isu baharu.

Jelas beliau, meskipun tewas pada percubaan kes Juzaili Khamis, mereka berterusan mencabar peruntukan enakmen ini satu demi satu.

“Kes Nik Elin walau bagaimanapun sedikit berbeza kerana beliau tidak didakwa di bawah mana-mana seksyen negeri Kelantan sehingga ‘locus standi’ beliau dipertikaikan oleh Yang Amat Arif Tan Sri Abdul Rahman Sebli baru-baru ini.

“Justeru, adalah terlalu sempit jika kita sendiri berpegang bahawa petisyen Nik Elin didasari kepada tindakan ‘bona fide’ untuk mempertahankan keabsahan mahkamah syariah.

“Sedangkan agenda utama liberal telah jelas kelihatan sejak kes Juzaili Khamis dan SIS Forum yang mempertikaikan Seksyen 66A. Perkara ini membentuk ‘precedent’ (ikutan) dan umat Islam menyaksikan satu demi satu peruntukan enakmen syariah negeri mula dicabar secara agresif di Mahkamah Sivil,” katanya.

Tambah beliau, DUPP mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah termakan dengan dakyah kosong Nik Elin dan penyokongnya bahawa tindakan mencabar peruntukan enakmen syariah tidak mempunyai implikasi yang besar kepada undang-undang syariah negeri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×