Walaupun tidur sebantal tapi mimpi lain-lain. Itu kenyataan biasa dipertuturkan umum.
Namun, jika ditukar mimpi yang berbeza itu menjadi impian bersama demi kebaikan, tentu keadaan menjadi lebih harmoni dan bermanfaat.
Begitu juga halnya dalam konteks perhubungan politik semasa tanah air yang boleh dikaitkan dengan mimpi dan impian yang berbeza. Kelihatannya, ada sesetengah pihak sukar menyembunyikan agenda parti yang terlalu bersentimenkan kepentingan kaum sehingga terserlah ‘impian’ yang seolah-olah kurang sabar untuk melunas cita-cita.
Sepatutnya, apabila berada dalam satu jemaah atau kesatuan perlu saling menghormati adab, menjaga santun agar apa yang dipertutur tidak mengguris hati sahabat atau yang terluah tidak menampakkan hasrat berlebihan.
Lebih tidak kena jika sesuatu itu bersangkut paut dengan perkara asas dari segi semangat sebagaimana yang tercatat dalam Perlembangaan Persekutuan turut cuba ‘diheret keluar’ untuk diperdebat secara terbuka.
Ada kala sampai kepada suatu peringkat di mana orang-orang Melayu wajar mempersoalkan: “Di mana lagi berbaki hakikat duduk perkara atau yang dikatakan kedaulatan Raja-Raja Melayu? Keistimewaan orang-orang Melayu? Dan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan?
Ada-ada sahaja ditimbulkan isu yang boleh mencuit perasaan, mengajak Melayu menjawab persoalan yang sepatutnya tidak lagi menjadi bahan perdebatan mahu pun pertikaian.
Provokasi hanya boleh melukakan hati. Perkara-perkara seperti jawatan Perdana Menteri, campur tangan dalam ehwal perundangan Islam dan mempersoal hak proregatif Yang di-Pertuan Agong tidak sepatut diperbesar ke tengah khalayak. Tindakan begitu hanya memperlihatkan sikap ‘kurang sopan’ atau ‘tidak memahami duduknya perkara’.
KAMPUNG BARU CINA
Ramai yang memuji pandangan seorang pemuda Tionghua yang tampil dalam satu video tular. Remaja itu mempersoalkan pihak yang mengeluar sebarang cadangan memartabatkan Kampung Baru Cina di negara ini untuk diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sama ada kurang memahami sejarah tanah air Malaysia atau sengaja berniat mencetus perasaan kurang senang orang Melayu.
Baguslah! remaja Cina itu sendiri cuba menyedarkan semua pihak bahawa usia kewujudan Kampung-Kampung Baru Cina di negara ini tidak sampai pun mencecah satu abad, sedangkan Kampung-Kampung Melayu lahir semula jadi di bumi yang sebelum ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.
Kata remaja itu, kenyataan individu yang mencadangkan idea itu tidak dibanggai pun oleh kaum berkenaan.
Ertinya sebarang pandangan dan cadangan ‘serong’ berbaur ‘perkauman’ tidak semestinya melambangkan mendapat sokongan semua masyarakat dalam kaum berkenaan. Juga bermakna, masih ramai rakyat Malaysia yang celik sejarah, sedia memahami asas latar belakang sejarah negara ini dan tahu menilai harmoni yang sekian lama dinikmati.
Melegakan sedikit perasaan orang Melayu apabila UMNO tampil menyuarakan ketegasan, menolak keras terhadap cadangan demikian. Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan UMNO melihat cadangan itu terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara langsung, meskipun bertujuan untuk memperkasakan sektor pelancongan negara.
UMNO berpendirian, apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan terbabit akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya dan bahasa akan turut diperakukan.
Hal itu tentu sudah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.
Menurut kenyataan itu lagi, bahawa isu tanah adalah isu maruah dan kedaulatan yang tiada tolak ansur bagi orang Melayu. Cadangan seumpama itu hanya akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan, mencetuskan polemik tidak perlu dalam kalangan rakyat, bahkan tidak selari dengan dasar Malaysia Madani yang dipelopori Perdana Menteri.
Kerap diperingatkan, jauhkan minyak dengan api dan sarang tebuan jangan dijolok. Itu antara bahasa kiasan untuk menarik perhatian semua pihak supaya sentiasa berwaspada dengan isu-isu yang boleh meretakkan perhubungan kaum di negara ini. Dan, yang sentiasa ditegaskan, tidak mungkin wujud harmoni dan perpaduan di bumi Malaysia selagi hati orang Melayu dicuit dan dicubek.
Menghampiri 70-dekad usia kemerdekaan Malaysia, rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan serta berbeza budaya dan anutan agama, dapat meniti kehidupan dengan makmur sejahtera. Paksi perjalanan tadbir urus negara berkonsep konsensus, sederhana, inklusif dan adil untuk semua. Jadi, apa lagi yang dicari?
Cukuplah dengan pengalaman dari peristiwa hitam hampir 25 tahun lalu. Mengenang peristiwa itu hanya boleh meresah perasaan, terpahat kesangsian tentang makna akur dan ketulusan. Dan, ambillah sama pengajaran dari sengketa politik di beberapa negara di dunia yang tidak pernah menjanjikan aman sejahtera untuk rakyatnya. Malah apa yang ada ialah pertelagahan berterusan tanpa penghujung. Sayangilah Malaysia!
Harmoni itu indah. Tiada harga yang boleh diperagakan. Justeru, langkah menjaga, membelai harmoni perlu terus dijadikan budaya menelusuri kehidupan tanpa dicemari sebarang gejala yang mengotorinya.-UTUSAN
DATUK Sayuti Mukhtar ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).










