Dugaan Tahun Baru Cina, rumah ibu tunggal musnah dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Dugaan Tahun Baru Cina, rumah ibu tunggal musnah dalam kebakaran

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran yang berlaku di Kampung Baru Nilai, Nilai, Seremban, petang tadi.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dugaan dihadapi seorang ibu tunggal dalam menyambut Tahun Baharu Cina apabila rumah pusaka yang didudukinya hampir 30 tahun musnah sekelip mata dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Baru Nilai, petang tadi.

Dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu, kebakaran tersebut telah memusnahkan dua buah rumah separuh kekal serta sebuah tokong. 

Menurut Lee Siow Wing, 58, sebelum kejadian berlaku, dia berseorangan di rumah dan berada di dalam bilik tidur utama. 

“Tetapi secara tiba-tiba saya terhidu bau asap dari arah ruang tamu sebelum saya keluar dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang. 

“Saya tidak dapat selamatkan barang-barang penting seperti dokumen rumah, kad pengenalan dan juga telefon bimbit. Duit raya pemberian anak sebanyak RM800 pun saya tidak dapat selamatkan,” katanya ketika ditemui. 

LEE SIOW WING

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Nilai, Bakarya Mohd. Salleh berkata, maklumat dari kebakaran melibatkan tiga buah rumah separuh kekal di mana rumah pertama yang berkeluasan 30×50 kaki persegi dan rumah kedua terbakar di bahagian dapur musnah 100 peratus. 

“Sebuah rumah lagi berkeluasan 30×50 kaki persegi terbakar lebih kurang 20 peratus. Terdapat sebuah jentera berat musnah lebih kurang 80 peratus dan dua buah kereta Proton Saga turut musnah dijilat api,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, hasil tindakan pantas pegawai dan anggota bomba yang bertugas berjaya mengawal api dalam tempoh 45 minit dan api dapat padam sepenuhnya pada puku; 7.45 petang. 

“Kerja-kerja overhaul sedang dijalankan dan punca kejadian masih dalam siasatan,”katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×