Impi bergandingan dengan Zizan Razak - Rayqa - Utusan Malaysia

Impi bergandingan dengan Zizan Razak – Rayqa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN baru mencecah usia 13 tahun, pelakon, Puteri Rayyana Rayqa atau Rayqa sudah membintangi lima filem dan lebih 13 buah drama televisyen. Memulakan kerjaya lakonan menerusi filem Warqah ketika usianya enam tahun, Rayqa bakal tampil dengan filem terkininya iaitu Bisikan pada bulan hadapan.

Mengimbas kembali detik bergelumang di set penggambaran selama ini, Rayqa mengakui ibunya merupakan insan paling penting yang membimbing langkahnya dalam dunia lakonan sejak dahulu.

Bakat Rayqa mula dikesan memandangkan kanak-kanak itu gemar berbual di hadapan kamera selain menonton kartun pilihan seperti kanak-kanak lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu, saya suka buat ala vlog untuk simpanan sendiri. Saya tidak kongsikan di mana-mana.

“Tapi bercakap depan kamera dan berlakon sangat berbeza. Dahulu saya mempunyai ‘stage fright’ yang sangat teruk. Saya gemuruh sampaikan nak bercakap depan orang ramai, memang tidak boleh.

“Teringat dahulu waktu sidang media filem Warqah, saya kaku apabila disuruh perkenalkan diri. Lama-lama, saya sudah boleh sesuaikan diri,” katanya kepada Pancaindera, baru-baru ini.

Sepanjang membintangi beberapa filem, Rayqa berkata, dia mempunyai pengalaman yang sukar dilupakan termasuklah beberapa babak seperti dia ‘ditanam’ serta adegan yang dianggap berbahaya untuk dirinya yang ketika itu masih di sekolah rendah.

“Antara memori yang saya ingat sepanjang penggambaran, saya pernah kena tanam bawah tanah. Dalam adegan itu, saya kena keluar dari tanah ala Zombie,” katanya sambil ketawa.

Selain itu, dia juga pernah berdepan adegan di mana harus berbaring di bawah lori besar dalam filem Bisikan.

“Saya kena duduk bawah lori besar. Tapi dekat belakang lori mereka tak letak apa-apa sebagai penghalang. Apabila fikir balik, berani juga saya pada usia tujuh tahun.

“Selain itu ada adegan saya kena tarik ke dinding guna tali untuk babak kena rasuk. Ada juga satu babak dalam kandang, badan saya terkena jaring dan perlu buat berkali-kali. Saya menangis sebab sakit, tapi kena buat juga,” ceritanya.

Bagaimanapun, dunia lakonan tidak hanya memberikan pengalaman mencabar baginya malah menerbangkannya pertama kali ke London ketika membintangi drama popular, Ikatan Terlarang.

“Saya tidak pernah ke London, tapi terlibat dalam lakonan membolehkan saya ke sana. Bekerja sambil jalan-jalan. Ketika itu pula musim salji, walau penat tapi saya sangat seronok.

“Drama itu juga membuatkan hubungan saya dengan ‘Uncle’ Hisyam Hamid lebih erat. Dia macam ayah sendiri di set penggambaran mungkin kerana dia juga mempunyai anak perempuan.

“Lebih menarik hari lahir saya hanya beza dua hari sahaja daripada ‘Uncle’ Hisyam. Jadi, boleh sambut sama-sama,” katanya.

Tidak hanya tertumpu pada bidang lakonan, bakat seni Rayqa turut berkembang apabila dia bersama rakan-rakan sebaya menubuhkan kumpulan muzik bernama Noise.

“Mulanya dari berlakonlah. Kami berlakon kemudian tengok-tengok seorang boleh main gitar, ada boleh main dram. Jadi, kami buat keputusan untuk tubuhkan band.

“Kemudian terlahirlah band ini. Kami ada jadual latihan agar tidak menggangu pelajaran. Terbaharu, kami buat persembahan di Zepp Kuala Lumpur sempena Konsert INDIESCOVERY,” katanya yang memegang peranan sebagai vokalis utama.

Menyentuh mengenai impian masa depannya dalam industri seni, Rayqa menyimpan hasrat besar untuk beraksi di samping pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak, yang menjadi idolanya.

“Saya memang minat komedi, semua program lawak memang saya akan tengok. Oleh itu saya teringin mahu bekerjasama dengan Zizan Razak sebab semua filem dia saya tonton.

“Lagi pula, dia pelakon serba boleh dan rapper yang menyanyikan lagu hits. Perjalanannya sebagai pelakon dan penyanyi dekat dengan saya.

“Apapun, saya menikmati proses sepanjang bekerja dalam industri. Buat masa sekarang, saya akan seimbangkan antara kerjaya dan juga pelajaran supaya kedua-duanya akan membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini