Syarat tambahan keluar lesen berjaya menangani perniagaan diurus warga asing - Utusan Malaysia

Syarat tambahan keluar lesen berjaya menangani perniagaan diurus warga asing

J. ARUL Kumar ketika ditemui pemberita di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pelaksanaan syarat-syarat tambahan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam pengeluaran lesen perniagaan dilihat telah memberikan impak khususnya dalam usaha mengambil tindakan terhadap isu perniagaan diuruskan warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, selepas pelaksanaan syarat-syarat tambahan tersebut, setiap kali operasi yang dijalankan oleh PBT khususnya Majlis Bandaraya Seremban (MBS), ia pastinya membuahkan hasil dan tindakan undang-undang dapat diambil dengan lebih baik.

“Sejak bulan November lalu tindakan penguatkuasaan MBS diambil secara agresif, setiap hari pasti ada tindakan yang diambil. Saya sendiri berpuas hati melihat perkembangan ini.

“Bagaimanapun kita perlu mengambil masa untuk mengatasi isu ini, saya mahu tindakan berterusan ini dapat dijalankan supaya matlamat kita iaitu menangani perniagaan dijalankan tanpa kesen dan diuruskan warga asing dapat dicapai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada bulan November tahun lalu, kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah tegas dengan mengenakan beberapa syarat tambahan dalam pengeluaran lesen perniagaan oleh PBT.

Tindakan tersebut antaranya bagi mengekang aktiviti ‘ali baba’ ataupun salah guna lesen perniagaan yang dikeluarkan kepada rakyat tempatan namun disewakan pula lesen tersebut kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan khususnya dalam sektor peruncitan.

Antara syarat-syarat tambahan kepada pengeluaran lesen tersebut antaranya adalah setiap pemohon lesen perlu mendaftar dan mendapatkan nombor fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terlebih dahulu dan mengemukakannya kepada PBT bagi membolehkan permohonan tersebut diproses.

Seterusnya, setiap premis perniagaan hanya akan diluluskan satu jenis perniagaan sahaja dan perniagaan yang berkaitan.

Pemilik lesen perniagaan atau wakil warga tempatan juga perlu berada di premis pada setiap masa operasi perniagaan selain warganegara asing adalah tidak dibenarkan untuk bertugas sebagai juruwang.

“Apabila syarat-syarat tambahan ini dikuatkuasakan, tindakan penguatkuasaan yang diambil ketika ini juga dapat dilakukan dengan baik,” katanya yang menegaskan tindakan membatalkan lesen perniagaan boleh diambil kepada rakyat negara ini yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan hampir 40 buah premis perniagaan di daerah ini diarahkan tutup serta-merta sepanjang tahun lepas selepas didapati diuruskan oleh warga asing.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×