JERANTUT: Keadaan jalan raya antara Kampung Pagi ke Kampung Kuala Sat kawasan Ulu Tembeling daerah ini seakan-akan pemandangan sebuah ‘safari’ di Afrika apabila kawanan gajah liar kerap kali dilihat keluar merayau dan mencari makanan di lokasi tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Pagi, Mustapa Abdullah, 37, berkata, keadaan ini sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu apabila gajah liar kerap melintas ataupun berada di atas jalan raya antara Kampung Pagi, Bukit Awan dan Kampung Kuala Sat di sini.
Ini kerana katanya, kawasan terbabit berdekatan ‘Koridor Gajah’ Kampung Kuala Sat yang mempunyai sumber makanan haiwan liar tersebut.
“Ada pengunjung luar memberitahu saya fenomena di sini seakan-akan ‘safari’ di Afrika, tetapi cuma mereka dapat melihat gajah liar pada waktu siang dan sekali-sekala terserempak Harimau Malaya pada waktu malam.
“Saya kerap melihat gajah berkeliaran dan merayau di pinggir jalan antara Kampung Pagi ke Kampung Kuala Sat dan sudah menjadi lumrah penduduk Ulu Tembeling terserempak dengan gajah liar dan Harimau Malaya di jalan raya.
“Kadang-kadang haiwan liar ini masuk ke kawasan tanaman komersial penduduk pada sebelah malam untuk mencari makanan, tetapi tidak mengganggu manusia,” katanya di sini.
Seorang pekerja pelancongan Kampung Kuala Sat, Dahalan Mohamad, 45, berkata, ketika memandu ke tempat kerja di Kampung Kuala Sat, pagi semalam, dia tergamam apabila kawanan gajah liar tiba-tiba muncul dari kawasan semak dan melintas jalan.
“Saya terus memberhentikan kereta kira-kira jarak 200 meter dengan gajah liar yang berada di hadapan sambil menyaksikan haiwan liar berhenti dan membuang najisnya.” katanya.
Menurut Dahalan, sebelum ini tidak berapa jauh dari tempat situ, dia bersama rakan pernah melihat kawanan gajah liar sedang mencari makanan di pinggir jalan di kawasan semak.
“Ketika itu, saya segera memecut kenderaan melepasi kawasan gajah liar sedang mencari makanan dibimbangi kemungkinan haiwan tersebut melintas jalan,” ujarnya. – UTUSAN










