Zulkafperi Ahli Parlimen keenam Bersatu isytihar sokong Anwar

Zulkafperi Ahli Parlimen keenam Bersatu isytihar sokong Anwar

Zulkafperi Hanapi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa hari ini. 

Zulkafperi berkata, keputusan itu dibuat selepas sedar dengan keperluan terhadap kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini. 

Katanya, keputusan itu juga bertujuan memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimennya terus terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur serta keperluan setempat.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Bagi mengelakkan sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan ini saya masih setia sebagai Ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati Parti Bersatu. Nmun demi memastikan kelangsungan Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat Persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar. 

Mereka ialah  Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan  Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang). 

Mengulas lanjut, Zulkafperi berkata, pengisytiharan sokongan itu juga dibuat tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak. 

Malah, katanya, ia dilakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang.

“Buat semua penduduk Tanjong Karang yang sangat saya kasihi, marilah kita bekerjasama dan menyokong Kerajaan Madani pada hari ini serta sama-sama berdoa semoga Allah S.W.T sentiasa memberkati bumi bertuah Tanjong Karang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana yang kita harapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×