PETALING JAYA: Penganalisis politik berpandangan, kini masa sesuai untuk Kerajaan Perpaduan melaksana cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, ini kerana cadangan itu yang diperjuang Pakatan Harapan (PH) semasa mereka masih berada dalam gabungan politik Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan ketika ini perlu merealisasikan cadangan berkenaan bagi mengelakkan timbul prasangka entiti itu kononnya dipengaruhi Perdana Menteri.
“Sebenarnya, cadangan ini sudah lama diperjuang oleh PH, jadi, apabila PH sudah menjadi kerajaan, maka, cadangan ini nampaknya cukup relevan. Jadi, kalau dapat dilaksana di bawah pentadbiran kerajaan hari ini, maka, ia adalah satu daripada reformasi yang dituntut.
“Jika SPRM diletak di bawah Parlimen, ia sudah bebas dan bukan lagi ditohmah mengikut ‘arahan’ Perdana Menteri. SPRM akan terus melapor kepada Parlimen,” katanya ketika dihubungi semalam.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, kewajaran meletakkan SPRM di bawah Parlimen melihat persepsi bahawa sesiapa yang menjadi seteru Perdana Menteri akan disiasat SPRM.
SITUASI
Beliau memberi contoh situasi melibatkan bekas Menteri Kewangan, Tun Dr. Daim Zainuddin dan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir iaitu Mirzan yang disiasat SPRM.
“Ada baiknya meletakkan SPRM di bawah Parlimen secara langsung bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap kerajaan. Ketika ini timbul persepsi berhubung kes kedua-dua individu ini yang tuduhan mengatakan hanya mereka yang tidak bersama Perdana Menteri disiasat.
“Persepi ini tidak lari jauh, dalam Pandora Papers banyak nama lain seperti Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disebut tetapi tidak disiasat. Jadi ini timbul persepsi hanya mereka yang seteru Perdana Menteri disiasat,” katanya.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Afifi Abdul Razak bagaimanapun berkata, cadangan berkenaan wajar dikaji dengan teliti bagi mengelakkan berlaku masalah perundangan dan pelaksanaan pada masa hadapan.
“Sekiranya SPRM diletak di bawah Parlimen, persoalannya adakah SPRM perlu menjawab kepada semua ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara atau mana-mana pihak berkepentingan?
“Apakah wujud ruang lingkup pertanggungjawaban agensi ini jika diletakkan di bawah Parlimen? Adakah ia bermaksud SPRM mempunyai akauntabiliti penuh kepada Parlimen? Saya tidak menafikan SPRM akan menjadi lebih telus tetapi kelemahannya SPRM mungkin terpaksa bergelumang dengan pengaruh politik di Parlimen,” katanya.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, tiada keperluan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen kerana ia menambah beban tugas Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Sekiranya diletakkan di bawah Parlimen, menteri dan pembangkang juga ada. Tidak perlu memeningkan kepala dan membanyakkan kerja AGC,” katanya.- UTUSAN











