Kuasai etika kewartawanan di dunia maya dan nyata

Kuasai etika kewartawanan di dunia maya dan nyata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH yang membezakan seorang wartawan yang dilahirkan dari kursus kewartawanan yang formal dan penyampai maklumat tanpa kursus berinstitusi di dunia maya pada era kecerdasan buatan (AI) mutakhir ini? Jawapannya hampir tiada, akibat dasar langit terbuka yang menyebabkan pintu banjir informasi melimpah tanpa kawalan.

Hanya etika sebagai seorang penyampai maklumat dan undang-undang negara membatasi tindak-tanduk seseorang bergelar wartawan dan penyampai maklumat melalui akaun media sosial. Sebagai seorang bekas pengamal undang-undang dan kini bergiat dalam bidang media, setiap berita yang disampaikan perlu berlandaskan fakta dan pengesahan pihak berkepentingan yang konkrit.

Hari ini tanpa perlu melalui kursus kewartawanan di bawah bidang komunikasi massa atau pun menjadi wartawan kadet selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan atas nama pempengaruh, blogger mahupun di atas platform media sosial.

Kewujudan media sosial seperti TikTok, X, Facebook, Instagram selain pelbagai platform penyampaian maklumat menerusi podcast, YouTube, portal berita malahan siaran televisyen kabel menyebabkan dunia informasi dan telekomunikasi semakin meriah di seluruh dunia.

Sebagai wartawan media perdana yang bertanya terus kepada sumber semasa sidang akhbar, lima elemen W dan satu H iaitu what (apa), why (mengapa), where (di mana), when (bila), who (siapa) dan how (bagaimana) perlu menjadi kod amalan pertanyaan kepada pihak yang ditanya.

Untuk mana-mana wartawan media perdana mahu pun media sosial sepatutnya bukan sahaja 5W dan 1H menjadi asas bertanya malahan pemahaman isu yang ditanya juga perlu dibuat kerja rumah sebagai persediaan. Kadang-kadang subjek yang ditanya pun tidak arif dengan isu yang dikemukakan wartawan, maka tugas wartawan sendiri memahamkan pihak terbabit. Jika bertugas di sesuatu negeri atau negara yang kita tidak pernah sampai, sebagai wartawan perlu memahami keadaan geopolitik, isu-isu tempatan dan isu semasa kawasan berkenaan.

Bukan bertujuan untuk nampak lebih bijak tetapi bagi memastikan elemen 5W1H tersebut dapat digunakan dengan lebih berkesan apabila draf berita sampai kepada editor kelak.

Hari ini dalam dunia informasi di hujung jari yang mana berita tular di media sosial yang masih mentah disampaikan terlebih dahulu (sebelum laporan rasmi oleh media arus perdana menerusi kenyataan pihak berkuasa), ia mampu mengundang kontroversi dan keresahan orang ramai.

Sudah menjadi norma, pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan video yang memaparkan kejadian di luar negara dengan keterangan gambar yang menyatakan ia berlaku di sini. Maka sebagai wartawan yang beretika perlu bersifat tabayyun, memastikan elemen 5W 1H dipenuhi semasa menyiasat video tular terbabit.

KEMAHIRAN

Dalam aspek ini, seseorang wartawan perlu mempunyai kemahiran perhubungan awam yang baik untuk mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa, sama ada melalui panggilan talian telefon, aplikasi WhatsApp mahupun mesej pesanan ringkas (SMS).

Jika pihak berkuasa menjawab sesuatu isu menerusi sidang akhbar, kemahiran bertanya bukan sekadar dengan elemen 5W1H tetapi perlu ada protokol yang perlu dipenuhi. Jika diarahkan ketua untuk mewawancara pemimpin negara dalam kalangan kerabat diraja, tokoh politik, pihak keselamatan dan tokoh perniagaan sebaiknya hubungi pegawai yang menjaga tokoh tersebut berhubung aspek protokol yang perlu dipatuhi sebelum wawancara diadakan pada hari yang ditetapkan.

Pastikan kita menyediakan set soalan yang ingin ditanya, mana yang boleh ditanya mana yang off the record bagi memastikan tiada tokoh yang meninggalkan wawancara di tengah ‘jalan’ tidak kiralah kita wartawan penyiaran atau media cetak. Nah! Begitu ‘payah’ sebenarnya menjadi wartawan yang bukan sahaja perlu ada segulung ijazah malahan perlu belajar elemen protokol dan mengenal sensitiviti seseorang tokoh yang hendak dijadikan sumber berita dan rencana.

Sesungguhnya dalam era AI hari ini, sewajarnya wartawan media lulusan universiti mahupun individu yang mengendalikan akaun media sosial, portal berita, podcast dan lain-lain mengamalkan etika kewartawanan yang formal bagi memastikan penyampaian maklumat lebih harmoni dan tidak dianggap terlalu mengejar like atau view bagi menarik pengiklan atau hadiah.

Kebelakangan ini dunia maya dimeriahkan dengan selebriti dan bekas tokoh politik mewujudkan podcast sebagai wadah untuk mereka terus menyampaikan idea dan berbincang dengan tetamu yang diundang. Tiada masalahnya untuk selebriti pelbagai bidang terbabit dengan podcast mahupun portal berita dan TikTok, cuma diharap perkongsian fakta disertai hujah yang konkrit dan bukannya sesi bantai-membantai.

Tidak kira kita wartawan penyiaran media perdana mahupun sebagai penyampai di platform media sosial, anggaplah kita berkongsi fakta dan hujah untuk mewujudkan masyarakat lebih bermaklumat dan memahami sesuatu isu bukan mengundang keresahan umum dengan kenyataan luar biasa.

Sewajarnya dalam era media perdana kena scoop atau berita baharu diterbitkan oleh media sosial, etika kewartawanan perlu terus menjadi asas penyampaian maklumat tidak kira berita mahu pun data lebih afdal berdasarkan penyelidikan dan laporan rasmi bukannya idea dari warung kopi.

Sewajarnya perkongsian maklumat dan ilmu di dunia nyata dan disiarkan di media sosial dilakukan dengan mengambil konteks penuh berlandaskan realiti, bukannya ambil sebahagian sahaja kerana dibimbangi mengundang perselisihan faham dalam kalangan pengikut di media sosial.

Ia penting bagi mengelakkan wujud elemen buli siber dan tekanan emosi dalam kalangan netizen hingga menyebabkan wujud gangguan mental malahan lebih teruk menjadi punca pergaduhan di dunia nyata. Saya berharap universiti mahupun institusi yang mendidik wartawan untuk menguasai bukan sahaja etika kewartawanan tetapi memastikan graduan kursus tersebut menguasai disiplin ilmu berkaitan politik, ekonomi, menguasai AI dan bagaimana mewujudkan portal berita di dunia maya.

Tanpa bersifat prejudis kepada sesiapa, kita perlu terbuka dengan fakta sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan hari ini di media sosial. Maka bagi memastikan bidang kewartawanan dan perkongsian maklumat yang kita jadikan kerjaya terus diterima tanpa perbalahan, jadilah pengamal media yang bukan sahaja beretika malahan tidak menggusarkan masyarakat majmuk di negara ini dengan kata-kata tanpa data dan fakta.

Jadilah manusia yang bijaksana, banyak berdiam diri dan berfikir sebelum berkata-kata dan menulis kerana lisan dan tulisan kita boleh mempengaruhi fikiran seseorang untuk melakukan kebaikan dan sebaliknya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×