KUALA Lumpur dinobatkan sebagai antara 10 bandar terbaik dunia dan ketiga terbaik di Asia untuk warga ekspatriat, menurut kajian tahunan InterNations, firma penyelidikan yang berpusat di Jerman.
Kajian itu juga menyatakan warga ekspat meletakkan soal kewangan peribadi, pekerjaan, perumahan dan bahasa sebagai kelebihan untuk menetap di ibu negara.
Alangkah baiknya jika kelebihan ini dapat dirasai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia sendiri dengan menyediakan rumah harga berpatutan, peluang pekerjaan bergaji tinggi dan kos sara hidup tidak membebankan.
Namun di mata rakyat kebanyakannya, Kuala Lumpur sering dipandang serong sebagai bandar yang sibuk, mahal untuk diduduki, dihantui kesesakan jalan raya walaupun menjadi pusat peluang pekerjaan dan perniagaan.
Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk memindahkan pusat pentadbiran kerajaan ke Putrajaya pada 1995, majoriti kakitangan kerajaan berpindah keluar dari Kuala Lumpur mulai 1999.
Sebahagian besar penjawat awam tidak lagi mencari dan membeli rumah di ibu negara, sebaliknya mencari kediaman baharu untuk menetap di Putrajaya atau sekitar Selangor.
Kekosongan rumah yang ditinggalkan di Kuala Lumpur diisi oleh pekerja sektor swasta, ahli perniagaan, ekspatriat dan pekerja asing yang sah dan tanpa izin, dengan hanya sebilangan kecil penjawat awam.
Sejak itu, pembinaan rumah berharga wajar di Kuala Lumpur menjadi semakin perlahan sebaliknya para pemaju mula membina lebih banyak rumah di sekitar Selangor seperti Petaling Jaya, Subang, Shah Alam, Sungai Buloh, Rawang, Gombak, Ampang, Seri Kembangan, Kajang, Bangi dan Semenyih.
Ini dibuktikan oleh Jabatan Perangkaan apabila daerah Petaling, Selangor mencatatkan bilangan penduduk tertinggi pada 2023 dengan 2.3 juta, diikuti Johor Bahru, Johor (1.8 juta) dan Hulu Langat, Selangor (1.5 juta) manakala Kuala Lumpur mencatatkan penurunan dari 2 juta kepada sekitar 1.9 juta.
Namun, kebanyakan rakyat yang tinggal jauh dari ibu kota berdepan kekurangan kemudahan pengangkutan awam, memaksa mereka memiliki kenderaan sendiri untuk pergi bekerja selain menghantar anak ke sekolah.
Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun kemudian, anak-anak ini membesar dan kebanyakannya menyambung pengajian di peringkat universiti atau menceburi alam pekerjaan.
Kebanyakan universiti terletak sama ada di bandar atau luar bandar, namun kebanyakan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi hanya berpusat di sekitar bandar seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Untuk bekerja di bandar, lebih mudah jika mereka tinggal di bandar. Itu masih boleh dilakukan jika 20 tahun lalu. Hari ini, bagi mereka yang baru bekerja, mereka tidak lagi mampu untuk memiliki rumah di bandar, sama ada menyewa atau membeli.
Jadi, kebanyakannya akan terus menetap di rumah ibu bapa bagi menjimatkan kos. Mereka juga perlu memiliki kenderaan untuk berulang-alik kerana jarak yang agak jauh antara rumah dan tempat kerja.
Gaya hidup ini diamalkan oleh sebilangan besar rakyat Malaysia, yang akhirnya menyumbang kepada kesesakan jalan raya, memakan masa sekurang-kurangnya sejam untuk sampai ke pejabat dan sejam lagi untuk sampai ke rumah.
Lebih parah, kesesakan ini bukan sahaja berlaku di sekitar Kuala Lumpur seperti 20 tahun lalu. Ia kini berlaku pada hampir seluruh lebuh raya dan jalan-jalan utama di sekitar Lembah Klang.
Ia dihadapi setiap hari oleh rakyat Malaysia. Kadang-kadang hari Sabtu dan Ahad juga berlaku kesesakan lalu lintas.
Sebab itu, ada yang sanggup pulang ke kampung halaman lebih awal dari tempoh persaraan. Ada juga berhijrah ke negeri lain dan menetap di sana, jauh dari hiruk-pikuk bandar dan kesesakan jalan raya.
Berbeza dengan bandar paling ramai penduduk di dunia iaitu Tokyo, Jepun dengan populasi kira-kira 13.5 juta manakala Greater Tokyo berjumlah kira-kira 37 juta penduduk setakat ini.
Menurut catatan penulis Jed Baso, Tokyo mempunyai penduduk yang lebih ramai berbanding mana-mana negara lain kerana empat faktor iaitu kemudahan pengangkutan awam, pusat perindustrian, pusat pendidikan dan polisi pemusatan kerajaan.
Ini bermakna, Tokyo merupakan pusat pentadbiran kerajaan, pusat ekonomi, pusat pentadbiran dan pusat pekerjaan, menjadi punca tarikan rakyatnya untuk berhijrah dan menetap di bandar tersebut.
Sebab itu, dalam tempoh beberapa kebelakangan ini, ada beberapa laporan media menyatakan, banyak rumah kampung di luar Tokyo terbiar begitu sahaja kerana pemiliknya sudah berhijrah ke bandar kerana peluang pekerjaan dan pendidikan yang lebih baik.
Rakyatnya juga lebih gemar memiliki rumah berhampiran bandar supaya mudah untuk ke sekolah atau ke pejabat, terutama dengan kemudahan pengangkutan awam yang cekap.
Jika Jepun boleh menjadikan Tokyo sebagai bandar yang mudah untuk diduduki rakyatnya, tidak mustahil Malaysia juga boleh melakukannya di Kuala Lumpur, bukan sekadar bandar yang hanya diduduki warga asing semata-mata.
Dengan pelantikan Dr. Zaliha Mustafa sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), rakyat mengharapkan pembaharuan besar terutama terhadap Kuala Lumpur dalam tahun-tahun akan datang.
Ketika ini, kerajaan menyasarkan pembinaan sebanyak 80,000 unit Residensi Wilayah di Wilayah Persekutuan dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028.
Rumah mampu milik ini layak dimiliki oleh warganegara berusia 21 tahun ke atas serta lahir, menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan, dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan bagi pemohon bujang dan tidak melebihi RM15,000 sebulan bagi pemohon yang telah berkahwin.
Rumah-rumah ini perlu dibina berhampiran pengangkutan awam, kemudahan awam dan pusat perniagaan kerana ia akan menjadi kunci utama untuk mengembalikan Kuala Lumpur kepada rakyat Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










