Sabah, Sarawak pengaruh perubahan pasaran politik

Sabah, Sarawak pengaruh perubahan pasaran politik

MAHU tidak mahu, mana-mana parti perlu melihat segmen pasaran poltiik Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dari sisi pandangan sentrik tengah dan sentrik yang lebih terbuka. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGMEN pemasaran politik di negara ini telah mengalami dua perubahan yang besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Ini disebabkan tiada mana-mana komponen parti yang benar-benar menguasai dimensi politik negara hari ini.

Pertama perubahan yang sangat signifikan ialah berlaku pembahagian sisi pandangan politik masyarakat Melayu yang kini terbahagi kepada tiga kelompok iaitu Melayu Pantai Timur dan Utara, Melayu Wilayah Tengah Semenanjung dan Melayu Wilayah Selatan Semenanjung.

Kedua perubahan yang kelihatan adalah dominasi politik Bumiputera Sabah dan Sarawak ke atas landskap politik masa kini.

Perubahan ini disebabkan oleh data penduduk terkini Malaysia pada 2023 yang mencatatkan jumlah penduduk Bumiputera adalah 70.1 peratus berbanding penduduk etnik Cina 22.6 peratus dan penduduk etnik India 6.6 peratus.

Pertambahan jumlah populasi Bumiputera telah disumbangkan oleh dua kelompok utama iaitu kelompok Melayu Pantai Timur dan Utara dan sebahagian lagi datang daripada Sabah dan Sarawak. Manakala penduduk etnik Cina telah berkurangan seramai dalam lingkungan 500,000 hingga 600,000 orang setahun. Bagi penduduk etnik India pertambahan penduduk melalui kelahiran adalah diseimbangkan dengan pengurangan penduduk seperti kematian dan migrasi ke luar negara.

Ini bermakna politik sentrik Melayu dan politik sentrik Bumiputra Sabah dan Sarawak akan menjadi sentimen utama dalam landskap politik Malaysia dalam masa beberapa tahun mendatang. Politik bukan Bumiputra iaitu politik etnik Cina dan India hanya menjadi penyokong dan penguat sokongan kepada mana-mana komponen parti politik yang mampu menawarkan tawaran yang lebih memberi manfaat dari segi politik, ekonomi dan sosial. Ini menjadikan teras utama politik Malaysia adalah politik Melayu kelompok Pantai Timur dan Utara dengan dominasi politik Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Mana-mana komponen parti politik yang akan bertanding kini perlu melihat pengimbang kepada kedua-dua teras utama politik tersebut iaitu kelompok politik Melayu dari Selatan dan Tengah Semenanjung iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Kelompok politik Melayu tersebut adalah lebih terbuka, berpendidikan, kritis dan tidak sama dengan pandangan kelompok politik Melayu Pantai Timur dan Utara.

Situasi ini berlaku kerana faktor pendidikan yang diterima oleh generasi X dan Y telah mencorakkan semula landskap politik pengisian kemerdekaan fasa kedua negara ini.

ABATA VS SENTRIK
Bagi yang berpendidikan agama kelihatan lebih kepada pandangan politik mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air (ABATA), manakala bagi yang berpendidikan kebangsaan lebih seimbang antara pandangan ABATA dengan pandangan sentrik tengah dan pandangan politik lebih terbuka. Akhir sekali bagi pandangan politik lebih terbuka selalunya adalah datang daripada berpendidikan Inggeris.

Ini menyebabkan isu-isu yang dimainkan untuk mendapatkan pasaran politik juga berbeza. Politik pasaran berasaskan ABATA akan bersaing dengan pandangan politik sentrik tengah dan sentrik yang lebih terbuka. Manakala pasaran politik ABATA kini terdapat beberapa parti yang sedang berusaha untuk mendapatkan tempat walaupun menjadi satu cabaran apabila segmen tersebut telah berpecah.

Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga menjadi semakin hebat dan canggih kerana berlakunya perebutan pempengaruh dan dominasi terutama bagi mereka yang berpendidikan kebangsaan dan agama.

Mahu tidak mahu, mana-mana parti perlu melihat segmen pasaran poltiik Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dari sisi pandangan sentrik tengah dan sentrik yang lebih terbuka. Politik sentrik yang lebih terbuka kini sedang berkembang disebabkan sosiokehidupan masyarakat Melayu yang sudah berubah konsep.

Konsep kekeluargaan masyarakat Melayu adalah lebih moden serta sederhana dalam pandangan politik dan nukleus keluarga yang semakin kecil. Ini menjadikan masyarakat secara majoritinya tidak lagi bergantung kepada sistem yang mewujudkan politik feudal moden tetapi lebih kepada sistem penaung kelompok atau kumpulan tertentu.

Pada amnya penaung kumpulan-kumpulan tertentu ini akan dipengaruhi oleh gerakan sivil melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Walaupun begitu, keadaan ekonomi amat memainkan peranan utama dalam dominasi pempengaruh dalam masyarakat Melayu disebabkan golongan M40. Ini kerana M40 merupakan golongan paling dominan dengan yang majoritinya berpendidikan dan sedar akan partisipasi politik negara.

Sehubungan itu, politik sentrik tengah kini semakin mengecil kerana berlakunya tekanan kehidupan ekonomi dan juga wujudnya elemen yang menyokong kepada persepsi bias tertentu dalam pasaran politik yang lebih cenderung kepada politik ABTA. Ini menjadikan politik berasaskan etnik dan agama masih kuat relevan dalam kalangan sebahagian besar masyarakat Melayu berbanding masyarakat bukan Melayu. Faktor ini kerana masyarakat bukan Melayu adalah golongan minoriti yang lebih mudah fleksibel kerana pandangan mereka terhadap manfaat dan bukannya untuk tujuan matlamat politik.

Ini berbeza dengan masyarakat Melayu yang merupakan majoriti negara ini yang melihat pandangan poltiik untuk tujuan matlamat. Bukan mudah untuk memperbetulkan persepsi bias ini kerana tekanan perkembangan teknologi yang semakin maju.

Walaupun begitu dominasi politik sentimen Sabah dan Sarawak kini telah berkembang sehingga ke Semenanjung Malaysia terutama di bandar-bandar besar. Ini tidak dinafikan akan berlaku satu campuran pasaran politik akan berlaku dengan Melayu sentrik tengah yang tidak lagi berasaskan kepada ABATA.

Permulaan sisi pandangan pasaran politik baharu ini sebenarnya mampu meresap masuk andai kata jumlah populasi penduduk Bumiputra mencapai 80 peratus ke atas pada 2030.

Walau apapun yang berlaku kelemasan sudah pasti akan berlaku kepada mana-mana parti politik Melayu yang kini cuba mendapatkan pengaruh bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu tetapi juga dalam kalangan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ini adalah kerana pertambahan penduduk daripada Sabah dan Sarawak tidak boleh lagi dinafikan mampu mempengaruhi corak pasaran politik masa depan negara ini.

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×