KLANG: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Mohamad Sabu kekal sebagai Presiden Parti Amanah bagi tempoh 2023-2026 apabila dipilih sekali lagi untuk menerajui parti itu dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu semalam.
Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pula dipilih sebagai Timbalan Presiden yang sebelum ini kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pula kekal dengan jawatan Naib Presiden.
Keputusan pemilihan jawatan-jawatan utama parti itu diumumkan oleh Speaker Amanah yang baharu, Azhar Ab. Syukur dan timbalan, Onn Jaafar sewaktu Konvensyen Amanah Nasional 2023, semalam.
Mohamad dalam ucapan penangguhannya berkata, ini merupakan penggal terakhirnya sebagai Presiden sebelum parti berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada 2028 dengan kepemimpinan baharu.
“PRU kalau genap lima tahun 2028, maka menjelang pilihan raya pimpinan baharu akan muncul memimpin Amanah, kita tak mahulah menangguhkan konvensyen ke 18 bulan, kita kena buat ikut jadual, kita harap pimpinan baharu memimpin dan menghadapi pilihan raya pada 2028,” katanya.

Sebelum itu, Mujahid dalam ucapan penggulungannya memberitahu, pemilihannya sebagai Timbalan Presiden yang baharu adalah bersandarkan kepada konsep rahmah yang dipegang parti di semua peringkat.
“Keputusan yang dibuat sebentar tadi adalah benar-benar bersandarkan kepada konsep rahmah yang kita pegang. Tak kira berapa undi diterima, namun para perwakilan menyatakan hasrat dan kami menghormati setiap undi diberikan.
“Namun, parti kita ini, mempelajari daripada pengalaman parti-parti lain, kita ada lagi satu tahap bagi memastikan kepemimpinan dilantik dengan cara bersikap syura. Alhamdulillah semuanya dengan konsensus. Tetapi saya kira apa yang lebih utama ialah tanggungjawab amanah yang berat yang kita pikul,” ujarnya.

Terdahulu, dalam pemilihan jawatankuasa nasional Amanah, Dzulkefly mendapat undian tertinggi antara 27 yang terpilih ke jawatankuasa nasional Amanah apabila memperoleh sokongan 900 undi dalam pemilihan parti itu.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menduduki tempat pertama meninggalkan Presiden dan Timbalannya masing-masing dengan 699 dan 613 undi.
Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, menduduki tangga kedua dengan perbezaan satu undi iaitu 899.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof memperolehi 755 undi menduduki tangga ketiga diikuti Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri; bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (694); Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat (682) dan bekas , Adly Zahari (643).
Menduduki tangga kesembilan, Datuk Dr. Hasan Bahrom (595), seterusnya bekas Exco Selangor, Dr. Siti Mariah (584); Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (555); Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (549), Muhammad Faiz Fadzil (527) dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan (520). – UTUSAN










