Fahami beza ektremis, radikal tangani keganasan

Fahami beza ektremis, radikal tangani keganasan

PIHAK berkuasa perlu mengenal pasti potensi ancaman, pemantauan dan pengawasan golongan ekstremis dan radikalisme dalam melakukan keganasan. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERISTIWA konflik Hamas-Israel pada 7 Oktober lalu telah menarik perhatian dunia dengan serangan dilakukan Hamas ke atas Israel membabitkan orang awam dan tentera. Rentetan serangan ini, Hamas dipromosikan sebagai kumpulan pengganas.

Terma pengganas ini juga menarik perhatian kita apabila secara tidak langsung turut dihadapi oleh negara ini. Malah terdapat gesaan daripada pegawai tinggi kerajaan, iaitu Mufti Perlis pada 9 Februari 2019 agar definisi pengganas diperjelaskan supaya tidak disalahertikan ke atas Islam.

Namun, sehingga kini masih belum terdapat definisi yang jelas mengenai ekstremisme, radikalisme dan pengganas. Istilah ekstremisme ganas mula digunakan berikutan pelaksanaan Resolusi 2178 (2014) yang dibuat di bawah Bab VII Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengaitkan violent extremism sebagai sesuatu yang cenderung kepada terorisme, pegangan fahaman ganas dan arahan melakukan tindakan ganas.

Dalam perundangan, pengganas dinilai sama ada individu atau kumpulan berdasarkan tindakan atau perbuatan melakukan elemen keganasan. Ia adalah selaras dengan definisi digunakan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang mana ia merujuk kepada ‘penggunaan kekerasan atau keganasan yang menyalahi undang-undang terhadap orang atau harta benda untuk menakut-nakutkan atau memaksa kerajaan atau penduduk awam untuk mencapai objektif politik atau sosial.’

Persoalannya, sekiranya seseorang belum lagi melakukan keganasan, apakah kategori yang boleh diletakkan ke atas individu atau kumpulan berkenaan? Amalan yang dilakukan oleh negara dan antarabangsa adalah dengan meletakkan kategori ekstremisme/radikalisme bagi individu atau kumpulan yang berkaitan dengan keganasan dan menjadi beban kepada kerajaan atau badan berkuasa seluruh dunia kerana kategori ekstremisme/radikalisme adalah kelompok sasaran yang besar. Pengganas pula akan merujuk kepada perbuatan ganas yang dilakukan oleh individu atau kumpulan.

Kegagalan menetapkan garis perbezaan antara ekstresmisme dengan radikalisme akan memberikan kesan kepada operasi pihak berkuasa kerana golongan ekstremisme dan radikalisme merangkumi jumlah yang ramai. Ini menyebabkan pihak berkuasa Malaysia dan di seluruh dunia menghadapi cabaran besar dan perlu memberikan perhatian penuh dalam mengenal pasti potensi ancaman, pemantauan dan pengawasan golongan ekstremis dan radikalisme melakukan keganasan.

Dalam usaha memudahkan operasi membasmi, menguruskan pengganas, pengawasan, pemantauan, gerak kerja dan membuat keputusan, maka pihak berkuasa dan agensi keselamatan perlu memiliki kriteria, justifikasi dan klasifikasi khusus ekstremisme dan radikalisme agar memudahkan urusan operasi pihak berkuasa. Ini kerana setiap negara lebih memahami senario sebenar demografi, budaya, fahaman, ideologi, pentadbiran kerajaan, negara masing-masing berbanding negara dan kuasa luar.

Secara umumnya, ekstremisme ganas dikaitkan dengan minda, nurani, ajaran, ideologi, fahaman, taksub, melampau dan luar kebiasaan. Walaupun terdapat beberapa pihak yang mengaitkan ekstremisme ganas dengan perlakuan (perbuatan), ia sebenarnya tidak tepat kerana sekiranya sesuatu perlakuan ekstremisme ganas dilakukan, ia tidak lagi berada dalam kelompok ekstremisme sebaliknya ia tergolong dalam kelompok pengganas. Justeru, ekstremisme adalah fasa permulaan yang mempengaruhi kepada perbuatan untuk melakukan keganasan.

HATI, LIDAH, ANGGOTA BADAN

Malah dari sudut Islam, sesuatu perbuatan bermula dengan niat. Imam Al-Shafie r.a. dan Imam Ahmad bin Hanbal r.a. menjelaskan, sesungguhnya setiap perbuatan dengan niat sepertiga pengetahuan dan keistimewaan seseorang hamba adalah melalui hati, lidah dan anggota badannya. Maka niat di dalam hati merupakan salah satu daripada tiga bahagian.

Di sini dapat disimpulkan niat merupakan tujuan hati atau gerak hati untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau perkara. Justeru, sekiranya individu memiliki niat yang baik, maka baiklah amalannya. Namun, jika rosak niatnya, maka rosaklah amalan tersebut. Sabda Rasulullah SAW: “Ketahuilah dalam diri manusia ada seketul daging, apabila ia baik maka baiklah jasadnya. Dan apabila rosak, maka rosaklah jasadnya keseluruhannya itu, ketahuilah iaitu hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Radikalisme secara umumnya lebih mengaitkan dengan kesanggupan dan kesungguhan untuk melakukan tindakan atau perbuatan. Mengapa seseorang atau kumpulan itu radikal? Golongan radikal adalah kelompok kecil daripada kelompok ekstremis yang telah pun memiliki elemen nurani, minda, fahaman, ideologi dan ajaran sebagai asas yang mempengaruhi seseorang atau kumpulan untuk melakukan tindakan. Golongan radikal adalah kelompok yang bersedia melakukan perbuatan ganas.

Sebagai contoh, adakah kesemua mereka 100 peratus yang mendapat pendidikan ekstremis di pusat penyebaran ekstremis seperti di Asia Barat, Pakistan, India dan sebagainya bersedia melakukan keganasan? Mengapa hanya sebilangan kecil seperti lima peratus melakukan keganasan? Ini bermaksud hanya sebilangan kecil golongan yang mendapat pendidikan ekstrem mempunyai elemen radikal, iaitu bersedia melakukan keganasan.

Sebagai contoh, ajaran ekstremis menyeru menyerang Amerika Syarikat (AS), namun tidak menyatakan sasaran hanya nama negara AS. Maka golongan radikal ini telah menetapkan sasaran mengikut kemampuan mereka seperti pejabat kedutaan AS, menculik atau membunuh pelancong AS dan sebagainya dan apabila mereka melakukan keganasan, golongan ini tidak lagi sebagai radikal sebaliknya pengganas.

Model ekstremisme dan radikalisme ini dapat menjadi asas kepada pihak berkuasa dengan kaedah yang lebih mudah dan tepat dalam menganalisa potensi ancaman pengganas berdasarkan klasifikasi kategori pengganas. Pihak berkuasa dapat mengenal pasti dan memberikan fokus lebih tepat khususnya memfokuskan kepada golongan radikal sebagai golongan berpotensi melakukan keganasan berbanding golongan ekstremisme yang mempunyai jumlah besar.

Dengan adanya kriteria kategori radikal ini juga, pihak berkuasa dapat membuat klasifikasi berdasarkan kriteria tertentu dalam mengukur kecenderungan, maklumat, jaringan, pergerakan dan sasaran yang akan dilakukan. Malah Malaysia akan menjadi rujukan model membanteras pengganas ke seluruh dunia. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar doktor falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazli Shafie (GSGSG), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×