Henti subsidi minyak masak peket elak ketirisan

Henti subsidi minyak masak peket elak ketirisan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran tidak meneruskan sistem subsidi sedia ada terhadap pengeluaran 60 juta kilogram (kg) minyak masak peket sebulan bagi elak ketirisan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan, jika tujuan subsidi tersebut adalah untuk menstabilkan harga minyak masak, ia sepatutnya disasarkan mengikut isi rumah.

JOHARI Abdul Ghani

“Golongan B40 dianggarkan 3.2 juta, kalau proses ini tidak dapat mengelak ketirisan, contohnya dahulu apabila kita bagi subsidi kerana harga mi­nyak sawit meningkat, jadi, kita ingat­ mahu bagi B40 supaya guna minyak masak ini tanpa beli harga tinggi.

“Tetapi, oleh kerana ada ketirisan, akhirnya ia dieksport. Kemudian, kita tahan harga supaya dapat mengatasi soal eksport, kemudian pemborong beli minyak masak peket dan dijual kepada syarikat mikro dengan harga lebih tinggi daripada RM2.50 maka subsidi bersasar tidak berlaku,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rak­yat semalam.

Malah, beliau memaklumkan ada pihak yang membeli minyak masak peket untuk dikitar semula dan meletakkan harga yang lebih mahal.

“Jadi, adakah kerajaan ingin meneruskan cara yang sama sebab sudah tiba masanya mi­nyak masak ini kita buat cash transfer. Kalau setiap rumah B40, dia dianggarkan pakai 5kg minyak masak sebulan, kita memang mahu bagi harga RM2.50, tetapi perbezaan de­ngan harga pasaran itu kita bagi cash transfer jadi kementerian tidak payah buat penguatkuasaan, jadi di pasaran boleh jual harga semua sama.

“Jadi, ini boleh sebabkan kerajaan jimat subsidi. Kalau harga meningkat RM2,000 ke RM2,500 setan, ia akan capai hampir RM1.4 bilion. Saya ingat­ untuk minyak sawit mentah (CPO) dengan RM6,500 setan, kita bayar hampir RM4 bi­lion jadi adakah kerajaan mahu teruskan cara yang sama,” katanya.

Cadangan itu disokong oleh Timbalan Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

“Ia pengamatan yang tepat kerana sistem subsidi pukal ini diwarisi kerajaan terdahulu dan tentu sekali kerajaan sependapat dengan penyasaran subsidi, kita mula tahun depan dengan diesel dan sebagainya untuk mengelakkan ketirisan, tentunya minyak masak dalam peket dalam senarai penyasaran subsidi tersebut.

“Jadi, kita tidak akan teruskan perkara yang sama kerana kerajaan juga amat gusar de­ngan perkara ini,” katanya.

Tambahnya, kementerian menyifatkan hanya golongan B40 dan sebahagian M40 layak menerima subsidi yang dianggarkan 5.8 juta isi rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×