Belum setahap istiqamah YB Pas, ‘hati kering’ sesetia MP DAP - Utusan Malaysia

Belum setahap istiqamah YB Pas, ‘hati kering’ sesetia MP DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INGATKAN sudah reda isu politik negara. Sebahagian besar masyarakat dalam sebulan dua ini pun tidaklah lagi ambil berat perihal politik yang berlaku. Masyarakat lebih berminat untuk bercerita tentang kos sara hidup dan tadbir urus yang baik.

Lagipun pilihan raya kecil (PRK) Simpang Jeram dan Pulai yang baru berlalu tidak begitu diingati sangat siapa pemenangnya. PRK Jepak di Sarawak pun langsung lenyap daripada minat masyarakat.

Namun, tiba-tiba bersekali dengan hujan, ribut dalam cuaca tidak menentu sekarang, kita dihidangkan pula dengan petir berdentum-dentam sokongan mendadak empat ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bahkan, dijangkakan beberapa orang lagi dari Bersatu akan berbuat demikian. Tunggu masa yang sesuai sahaja.

Dari segi skrip untuk menghalalkan keputusan ‘lompat parti’ daripada keempat-empat ahli Parlimen ini lebih kurang senada. Iaitu – tidak sanggup melihat pengundi di kawasan terus terbiar dan ketinggalan hanya semata-mata kerana perbalahan naratif politik.

Mereka khabarnya mengambil keputusan itu untuk menyokong inisiatif-inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Kalau alasan kawasan Parlimen Kuala Kangsar bandar diraja risau dibiarkan Pusat kerana di bawah pembangkang, kita rakyat pasti terkejut besar. Labuan itu pula satu bahagian Wilayah Persekutuan. Gua Musang sejak banyak penggal di bawah seorang hulubalang sebuah parti pun macam itu seadanya dan Jeli, selepas Tok Pa dan UMK bertapak, tidak ke mana hala tujunya.

Hakikatnya, mempolitikkan banyak perkara dan isu adalah perkara biasa sebagai seorang ahli politik dalam usaha untuk menyampaikan sesuatu perkara demi kebaikan rakyat. Sudah tentu yang pertama-tamanya untuk kebaikan politik diri.

Demikianlah, buatlah apa sahaja undang-undang dan peraturannya untuk menyekat ahli-ahli Parlimen beralih arah menyokong parti lawannya, tak ke mana titik noktahnya.

Sejak Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) yang melarang ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuat kuasa 5 Oktober tahun lalu, sekurang-kurangnya tujuh negeri telah menguatkuasakan larangan bertukar parti.

‘LOMPAT PARTI’ ATAU TIDAK?
Lebih kurang ‘lompat parti’ kah apabila keempat-empat ahli Parlimen Bersatu terbabit menyokong kerajaan perpaduan? Eh! tidak, eh! bukanlah, eh! macam betul, lebih kurang, ah! tak pasti, ah! lantaklah – itu berlegar-legar di fikiran kita.

Apa pun kategori dan karakter wakil rakyat, apabila seseorang telah menjadi ahli politik, ia akan kekal sebagai ahli politik. Menangkis tohmahan, propaganda dan psywar adalah cabaran yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli politik.

Hujah-hujah yang diterampilkan mesti dekat di hati. Ungkapan demokrasi tersohor, “Dari, Oleh dan Untuk Rakyat” akan terus dipertahankan oleh sebilangan mereka yang jujur.

Kesetiaan kepada parti bukanlah suatu yang boleh dikompromi. Jangan lari dari medan perang atau lupa asal usul parti dan perjuangannya sebagaimana terjadi dalam sejarah lompat parti terbesar, Langkah Sheraton pada Februari 2020. Rentetan dari itulah huru-hara dibuatnya Malaysia ini.

Setia kepada parti bukan hanya ketika senang, tetapi kesetiaan itu setiap masa. Ya, sepanjang liku-liku perjuangan – ketika suka dan duka, ketika susah dan senang. Benar kata orang, lebih mudah menghadapi musuh yang lampunya terang benderang dari mengendali musuh dalam selimut.

Ada ketika aksi lupakan parti oleh mereka ini meluat dipandang. Dalam satu pilihan raya negeri beberapa tahun lalu, ada yang enggan tampakkan diri dia itu ahli parti. Main sembunyi, nyorok-nyorok. Tidak mahu sarung vest atau topi ada lambang parti.

Mahu jaga imej diri konon tidak mahu main politik. Peliknya parti-parti lain yang ahli mereka juga berjawatan, malah porfolionya kanan pula dalam kerajaan tak ada pula isu bab ini. Bukan saja bersahaja, bahkan bangga pakai baju berlambangkan parti mereka.

LUBANG ULAR
Kelibat yang ‘baru sedar parti penting’ ini mula resah gelisah bila berbicara hal kawasan/kerusi yang mana mahu ditandingi. Baru ‘bertemu buku dengan ruas’ kembali berpijak di bumi nyata yang populariti diraih selama ini bukanlah kerana dia wakil rakyat bebas.

Tapi kerana diri itu dikenali atas platform parti dianggotainya. Tangani sosok oportunis ‘baru sedar parti penting’ ini dengan cermat. Jangan jatuh dalam lubang ular yang sama.

Cuma, acap kali bila rakyat dihidangkan dengan drama politik cacamarba macam lima tahun yang berlalu tempoh hari, termasuklah ala ‘lompat parti’ berupa ‘sokongan kepada kerajaan’, kita pastinya teringat akan ungkapan Bob Hope, seorang penghibur Hollywood.

Hope pernah bergurau berkenaan ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka. Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, “hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”.

Ini hanyalah suatu gurauan. Namun ia menjelaskan kehadiran politik dalam kehidupan semua orang – tidak kira sama ada beliau seorang ahli politik atau tidak.

Sebaliknya seorang yang ekstrem dalam politik, perlu mempunyai ciri diplomasi yang lebih baik. Tidak ada sesiapa yang mahu ke neraka, tetapi cara seorang ahli politik berbicara membuat pendengarnya ingin ke sana.

Parti Bersatu pastinya akan mengambil langkah berjaga-jaga dalam seminggu dua ini. Hendak ‘dikurung’ wakil rakyat mereka, agak tidak munasabah kerana barangkali ada yang perlu fikirkan tembolok sendiri. Diburukkan lagi akaun parti dibekukan.

Ya, mungkin belum lagi sampai tahap istiqamah macam YB Pas atau ‘hati kering’ setia parti seperti mana ahli Parlimen DAP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×