Setahun letak asas jadi Malaysia negara hebat - Utusan Malaysia

Setahun letak asas jadi Malaysia negara hebat

KETIKA pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober lalu, Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai RM132.6 bilion untuk tempoh separuh pertama 2023. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 24 November ini genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Bagi Kabinet beliau, tarikh genap setahun adalah pada 3 Disember ini.

Cukup menarik sejak akhir-akhir ini ramai penganalisis politik yang memberi komen menjelang genap setahun Anwar.

Antaranya, Felow Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir yang bertanya, “Jenama dan platform Anwar adalah reformasi. Apa reformasi yang telah dilaksanakan setakat ini?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di mana pula pemansuhan undang-undang drakonian, pemisahan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya, reformasi berani seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen?” soalnya lagi.

Harapan Jeniri untuk melihat perubahan berlaku dengan segera menyamai ungkapan orang ketujuh terkaya di dunia, Bill Gates iaitu, “Kebanyakan orang terlalu membuat jangkaan berlebihan tentang apa yang mereka boleh capai dalam setahun dan memandang rendah apa yang boleh mereka capai dalam tempoh 10 tahun.”

Dalam konteks kerajaan perpaduan, mungkin ramai yang mengharapkan Anwar dapat mengubah banyak perkara dalam tempoh setahun sedangkan seperti yang disebut Gates tempoh setahun itu adalah waktu untuk meletakkan asas atau sistem yang hasilnya akan disaksikan dalam tempoh 10 tahun selepas itu.

Maksudnya, kita perlu terus bekerja keras kerana kejayaan besar memerlukan masa untuk dicapai. Apakah asas utama yang telah diletakkan oleh Anwar?

Jawapannya adalah seperti dinyatakan Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim, baru-baru ini iaitu dari segi tata kelola. Beliau diketahui ramai tidak takut bercakap benar.

Hassan sebelum ini mendedahkan dirinya menerima pelbagai kecaman termasuk digelar ‘walaun’ daripada ahli dan penyokong PH khususnya PKR kerana sering mengkritik Perdana Menteri.

Katanya, Anwar telah meletakkan asas bagi menambah baik tata kelola yang sebelum ini kita selalu sebut sebagai tadbir urus. Ertinya sesuatu perkara itu perlu diurus dan ditadbir dengan baik untuk mencapai kejayaan.

Anwar ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada September lalu telah mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Akta Tata Kelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tata kelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.

Menurut Hassan, antara tata kelola itu adalah mengenai kontrak dan tender apabila Perdana Menteri telah mengarahkan ia mesti melalui tender terbuka.

Tata kelola mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) adalah Anwar telah memutuskan hanya golongan profesional yang layak dan bermerit sahaja dilantik.

Mengenai tadbir urus mencegah ketirisan dan rasuah pula, Perdana Menteri telah memberikan kebebasan penuh di bawah undang-undang yang ada supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas penguatkuasaan mereka tanpa takut dan pilih kasih.

Selain itu, menyentuh tata kelola mengenai sistem perundangan, Anwar telah mengambil inisiatif supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjalankan libat urus yang bertujuan pada akhirnya memisahkan jawatan Peguam Negara dengan jawatan pendakwa raya.

Dalam aspek tadbir urus untuk menjaga kesejahteraan kehidupan rakyat, Perdana Menteri telah memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan makanan dan mengatasi masalah kos sara hidup yang tinggi.

Anwar telah mengarahkan dirombak sistem pemberian permit import (AP) dan beransur-ansur mengurangkan cengkaman orang tengah dan kartel yang menindas rakyat dalam rantaian makanan serta perkhidmatan.

INDIKATOR
Tata kelola yang menjanjikan perubahan kehidupan berbelas juta rakyat pekerja di negara ini ialah inisiatif kerajaan memperkenalkan sistem gaji progresif sebagai jalan ke arah rakyat berpendapatan tinggi.

Tadbir urus yang menjanjikan kemajuan dari segi ekonomi dan penghapusan sistem kapitalis kroni ialah langkah merangka Dasar Anti Ali Baba dalam pemerolehan tender dan kontrak projek kerajaan.

Pentingnya tata kelola telah ditekankan oleh Anwar semasa pertemuan dengan ketua jabatan dan agensi penguat kuasa pada 23 Ogos lalu apabila menyatakan tata kelola baik akan menghapuskan ketirisan, pembaziran, menarik pelaburan dan meningkatkan persekitaran perniagaan selain menjaga keselamatan rakyat.

Dengan tata kelola baik, banyak kejayaan yang telah diraih dalam tempoh setahun. Seperti dinyatakan Anwar ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu iaitu tempoh separuh pertama 2023 menyaksikan Malaysia berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai RM132.6 bilion, melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.

Anwar berkata, menjengah usia hampir setahun kerajaan pimpinannya, kadar pengangguran berjaya turun kepada 3.4 peratus setakat Ogos lalu iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum pandemik Covid-19 (3.3 peratus).

Pada Ogos lalu kadar inflasi hanya dua peratus iaitu antara terendah di rantau ini. Malaysia juga kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong dan setakat Ogos lalu menyaksikan ketibaan pelancong asing hampir 13 juta orang iaitu lebih tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan semua indikator positif ini, maka kenyataan Anwar yang ditemui selepas menyempurnakan Kolokium Madani Perkhidmatan Awam 2023 di Putrajaya pada 8 November lalu yang meluahkan keyakinan Malaysia mampu kembali menjadi sebuah negara hebat pada masa depan berdasarkan keupayaan dan potensi yang ada bukanlah cakap kosong.

Tempohnya akan lebih singkat dan tidak perlu sampai 10 tahun seperti ditetapkan oleh Gates. “Beri masa dua atau tiga tahun, Malaysia dapat diangkat sebagai satu negara hebat,” kata Anwar dengan syarat kerajaan perpaduan mendapat kerjasama penuh semua pihak termasuk penjawat awam.

Oleh itu, kepada pihak pembangkang hentikan ugutan cabut plag kerana ramai yang telah sedar langkah itu adalah sia-sia seperti diakui ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang semakin ramai menyatakan sokongan terhadap Anwar. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×