Ada media kita dangkal konflik Israel-Palestin - Utusan Malaysia

Ada media kita dangkal konflik Israel-Palestin

MEDIA tempatan dan antarabangsa termasuk Al-Jazeera memainkan peranan signifikan dalam memaparkan realiti yang berlaku di Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA, wilayah terpinggir di Palestin menjadi medan pertempuran mengerikan selama bertahun-tahun. Konflik berlarutan selama 75 tahun antara penduduk Palestin dan rejim Zionis Israel telah menarik perhatian dunia. Dan peranan media dalam membentangkan maklumat berkaitan keganasan dan ketidakadilan di sana menjadi semakin penting.

Tindakan rejim Zionis membedil Semenanjung Gaza pada mulanya digembar-gemburkan sebagai hak mempertahankan diri selepas Hamas melancarkan Operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober lalu.

Media berfungsi sebagai sumber maklumat utama membantu dunia luar memahami realiti pahit dihadapi penduduk Gaza, dan memainkan peranan penting dalam menyuarakan keprihatinan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rejim Zionis Israel dalam usahanya untuk terus menjajah dan mengekalkan kawalan ketat terhadap wilayah ini, dilihat melakukan pelbagai tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Palestin di situ.

Dalam proses tersebut, mereka jelas melanggar beberapa undang-undang antarabangsa berkaitan hak asasi manusia termasuk Konvensyen Geneva yang menetapkan prinsip-prinsip perlindungan terhadap rakyat awam semasa konflik bersenjata.

Di samping itu, sekatan ekonomi terhadap Semenanjung Gaza adalah tindakan teramat kejam kerana telah mengabaikan hak asasi penduduk di situ untuk mendapatkan bantuan kemanusiaan seperti air, makanan, elektrik dan bekalan perubatan.

Kesatuan Eropah (EU) menegaskan, hak mempertahankan diri perlu dilakukan mengikut undang-undang antarabangsa, bukannya menyerang kawasan penempatan awam secara membabi buta.

Pembunuhan rambang rejim Zionis terhadap ribuan orang awam termasuk kanak-kanak di Semenanjung Gaza adalah jenayah di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut berkata, Israel mungkin melakukan jenayah perang hukuman kolektif dan genosid melalui pengepungan wilayah itu. Sehubungan itu, media tempatan dan antarabangsa, antaranya Al-Jazeera mema­inkan peranan signifikan dalam memaparkan realiti di situ.

Mereka memberikan liputan berterusan, menyuarakan perspektif penduduk Semenanjung Gaza dan menyediakan platform bagi pengamal media yang bekerja di lapangan untuk menyaksikan dan melaporkan peristiwa di sana.

Melalui laporan berita, fotografi dan video, media membantu mendedahkan realiti di lapangan kepada dunia, lantas memaksa komuniti antarabangsa untuk menerima hakikat yang tidak dapat disangkal lagi.

Amat disesali apabila kini wartawan dan keluarga mereka pula disasar dan dibunuh dengan kejam oleh tentera Israel. Sedangkan mereka hanya memainkan peranan sebagai mata-mata dunia yang mengesan dan melaporkan kekejaman yang berlaku.

CABARAN, KRITIKAN

Di zaman moden kini, mereka yang terjejas secara langsung oleh konflik sering menggunakan media sebagai platform untuk berkongsi pengalaman. Akibatnya, warga dunia dapat melihat sendiri kesengsaraan dialami penduduk Palestin menerusi media sosial, rakaman video, blog dan wawancara eksklusif.

Tambahan, media berfungsi dalam menyelidik dan memberikan konteks kepada kejadian-kejadian yang berlaku. Ia membantu menganalisis latar belakang konflik dan sejarahnya, membawa kepada perhatian masalah dasar dan politik berkaitan serta menggambarkan implikasi keputusan dibuat oleh Israel dan negara-negara sekutu.

Walaupun media memainkan peranan penting dalam melaporkan berita sahih, ia juga menghadapi cabaran dan kritikan. Media tidak dapat lari daripada ketidakseimbangan dalam liputan berita yang boleh menggambarkan salah satu pihak sebagai mangsa atau penindas dengan cara berat sebelah.

Wujud tekanan politik dan ekonomi yang boleh mempengaruhi cara media melaporkan berita, terutama jika dikendalikan oleh syarikat-syarikat besar atau pihak berkuasa. Saya begitu kesal apabila ada sebahagian media tempatan melabel pejuang Hamas sebagai kumpulan militan dan pengganas, bertepatan dengan naratif berniat jahat dibawa media Barat dan Israel.

Betapa dangkal pemikiran segelintir pengamal media berbahasa Mandarin yang senang sekali menyifatkan kumpulan Hamas sebagai pengganas dan terus memburukkan nama pejuang tanah air Palestin tersebut.

Hakikatnya, Hamas kekal teguh berdiri sebagai sebuah gerakan demokratik selama lebih tiga dekad yang berhasrat untuk menentang pendudukan haram Israel dan membebaskan Palestin. Jika dunia berharap untuk melihat penyelesaian yang adil untuk isu Palestin, ia tidak seharusnya mengasingkan Hamas tetapi mengiktiraf status sah mereka, bukan menentangnya.

Media global pula gemar mempopularkan naratif palsu dengan mengambil dakwaan tidak berasas oleh Israel bahawa kumpulan pejuang Palestin, Hamas telah ‘memenggal kepala 40 bayi’. Walaupun tiada bukti dikemukakan, dakwaan popular itu telah dilaporkan oleh The Independent, CNN, Fox News dan New York Post.

Rakyat Palestin yang dijemput untuk bercakap ketika sesi temu bual dalam saluran berita Barat sering ditanya sama ada mereka ‘mengecam Hamas’, sedangkan tetamu Israel jarang diminta untuk mengutuk dasar aparteid kerajaan mereka di Tebing Barat.

Media harus memainkan peranan seimbang dalam melaporkan berita sahih mengenai kekejaman Israel terhadap manusia-manusia tidak berdosa di Semenanjung Gaza. Ia adalah medium utama untuk membantu mendedahkan kebenaran kepada dunia, memberikan suara kepada mangsa-mangsa dan mengetengahkan konteks kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku.

Kendatipun media menghadapi cabaran dan tekanan tersendiri, ia harus terus berusaha untuk memastikan berita yang disampaikan adalah objektif, sahih dan berperanan dalam mencapai keadilan dan penyelesaian tuntas untuk sesuatu konflik tersebut. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Pengarah Komunikasi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×