DI Malaysia, seruan boikot biasanya dilaungkan apabila wujud isu sensitif khususnya melibatkan agama dan umat Islam. Umpamanya, boikot produk Sweden pernah dilaungkan apabila ada penghinaan terhadap Rasulullah dan al-Quran; boikot produk orang bukan Islam dikumandangkan apabila ada penghinaan terhadap Islam dan tulisan Jawi.
Setiap hari sejak tercetusnya konflik Israel-Palestin pada 7 Oktober lalu, isu boikot kembali bergema dan kali ini agak ‘mengganas.’ Semakin hari semakin ramai berpegang teguh dengan pendirian untuk tidak menyokong atau membeli mana-mana produk yang dikaitkan dengan Israel sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin. Banyak restoran makanan segera yang dikaitkan dengan Yahudi dan menyokong Israel dikatakan lengang.
Banyak pihak melancarkan kempen boikot berserta satu senarai panjang produk dan perkhidmatan yang disebarkan secara meluas. Ekoran itu juga, terdapat segelintir pihak yang tidak bersalah mulai runsing dan ketakutan untuk keluar mencari rezeki.
Pun begitu, bagi golongan yang neutral, ia tidak bermakna mereka hilang ihsan terhadap ‘penderitaan’ ditanggung rakyat Palestin terutama di Gaza. Mereka ada acara tersendiri dalam menzahirkan sokongan dan doa buat rakyat Palestin yang ‘disakiti.’
Situasi ini berlaku disebabkan mereka bekerja dengan syarikat yang disenaraikan untuk memastikan dapur-dapur mereka berasap dan sekiranya boikot berlanjutan, kemungkinan mereka akan hilang kerja dan terjejas sumber pendapatan.
Bahkan difahamkan, ada dalam kalangan pekerja ini sudah dicutikan sejak dua minggu lalu ekoran kekurangan pelanggan.
Secara umumnya, pihak yang terlibat melakukan kempen boikot secara agresif tanpa mempertimbangkan sisi maslahah (faedah) dan mafsadah (kerosakan/kebinasaan) kepada pihak lain di samping tanpa melihat latar belakang sesuatu syarikat secara lanjut. Sedangkan dalam senarai dikemukakan, memang terdapat produk dan perkhidmatan milik orang Yahudi dan Israel tetapi terbahagi kepada dua golongan, iaitu yang menyokong serangan atas Palestin dan tidak menyokong tindakan rejim Zionis itu.
Di samping itu, ia turut melibatkan syarikat francais. Terdapat syarikat francais yang pendirian berbeza dengan syarikat induk dan tidak menyokong serangan, malahan mereka menyumbang kepada tabung kemanusiaan Palestin. Selain itu, wujud juga syarikat bukan milik Israel tetapi kalangan mereka ada yang menyalurkan dana dan menyatakan sokongan kepada Israel.
Profesor Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli dari Universiti Malaya berpendapat, dalam senario ini, pemboikotan terhadap pihak yang menyokong serangan, menyalurkan dana dan terang-terang menyokong rejim Israel adalah jelas. Kita boleh bersepakat untuk memboikotnya tetapi dalam keadaan melibatkan syarikat berasaskan francais dari luar negara, pertimbangan berasaskan maslahah dan mafsadah perlu diambil kira. Ia melibatkan beberapa produk yang memegang sijil Halal Malaysia dan mempunyai ramai pekerja Muslim, bahkan mereka turut menyumbang kepada tabung kemanusiaan Palestin.
Pada dasarnya, ulama menggariskan hukum boikot sebagai pembelaan terhadap bumi Palestin dan Baitulmuqaddis adalah bersifat fardu ain. Ramai ulama menfatwakan tentang kewajipan memboikot produk dan perkhidmatan yang menyalurkan bantuan kepada Israel kerana ia sebahagian daripada jihad fi sabilillah. Namun begitu, dalam konteks semasa, tindakan memboikot ini perlu diteliti dengan mendalam dan tidak boleh digeneralisasi kerana ia boleh menimbulkan kesan berantai terhadap banyak pihak tidak bersalah.
“Para ulama menggariskan panduan dalam menentukan aspek maslahah ini dapat dicapai supaya ia mampu mendatangkan kebaikan kepada manusia. Ini kerana Islam adalah agama yang menitikberatkan maslahah, iaitu mendatangkan manfaat dan menghindari kemudaratan. Islam menolak mafsadah kerana ia membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Mohd. Anuar, dalam hal ini, tindakan pemboikotan selari dengan maslahah, iaitu mendatangkan kebaikan dengan memberi tekanan kepada syarikat-syarikat milik Yahudi dan Israel serta penyokong rejim Zionis.
Tekanan berbentuk ekonomi ini mampu untuk mengurangkan keuntungan walaupun tidak menyebabkan kerugian besar kepada mereka.
FRANCAIS
Sebaliknya, jika syarikat bersifat francais, pertimbangan mafsadah atau keburukan perlu dibuat. Ini kerana ramai orang Islam terlibat dalam rantaian produknya dan kemudaratan akan berlaku kerana kelangsungan hidup mereka.
Sekiranya tiada jualan dan premis ditutup, mereka akan kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Kesan ini turut melibatkan pelbagai pihak yang berada dalam rantaian ekonomi terbabit seperti pembekal, pengedar, penyedia logistik, penghantar makanan dan lain-lain. Pertimbangan ini selari dengan kaedah fiqah iaitu mengelak kemudaratan lebih utama daripada mendapatkan kemaslahatan.
“Jika dibuat pertimbangan antara maslahah yang boleh diperoleh dengan mafsadah yang boleh berlaku, maka kedudukan mafsadahnya lebih besar. Mengambil kira kaedah fiqah, maka pemboikotan terhadap syarikat francais boleh mendatangkan mafsadah yang jelas berbanding maslahah.
“Ini kerana pihak yang memboikot tidak mengalami apa-apa kerugian yang nyata. Dan pihak syarikat francais terpaksa menanggung kerugian yang besar sedangkan mereka mempunyai pendirian berbeza dengan pihak francais yang berada di Israel,” jelasnya.
TIADA PELAN TINDAKAN
Dalam masa sama, pihak yang menganjurkan kempen boikot secara besar-besaran tidak menyediakan sebarang pelan tindakan lanjutan untuk membela nasib pemilik dan pekerja tempatan termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) yang terjejas agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.
Jadi, dalam tindakan boikot terhadap produk syarikat francais di Malaysia yang mana mereka tidak menyokong serangan Israel ke atas rakyat Palestin, perlu dibuat pertimbangan adil dan jernih, bukan sekadar desakan populis, sentimen semasa dan ledakan emosi semata-mata.
Sekiranya tindakan boikot ingin juga dilakukan, nasib mereka yang terkesan terutama pekerja dan pencari nafkah perlu dibela dengan menawarkan bantuan pekerjaan lebih baik agar dapur mereka terus berasap dan tiada yang kebuluran. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










