Harapan peladang pada Mat Sabu

Harapan peladang pada Mat Sabu

PENULIS menaruh harapan tinggi kepada Mohamad Sabu agar mengupayakan setiap jabatan dan agensi di bawah kementeriannya dengan penyampaian perkhidmatan bermutu. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPENA Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (PPNPK) 2023 di Ipoh, Perak pada 10 hingga 12 November ini, sebagai peladang berskala kecil sejak tiga dekad lalu, saya menaruh harapan tinggi kepada kepemimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih mesra disapa Mat Sabu yang menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) agar mengupayakan setiap jabatan dan agensi di bawahnya dengan penyampaian perkhidmatan bermutu.

Kita tidak boleh merayu-rayu meminta negara luar mengeksport makanan penting seperti beras, ayam dan telur. Negara mampu menghasilkan semua produk itu. Beberapa cabaran dan kelemahan boleh diatasi dengan tindakan pembetulan segera jentera KPKM.

Rakyat kini berhadapan kesukaran memperoleh makanan dengan harga patut akibat beberapa sebab seperti peperangan Russia-Ukraine, perubahan iklim, kesan El Nino dan kejatuhan nilai mata wang negara. Faktor makanan merupakan faktor utama sesebuah kerajaan kelihatan lemah. Akibatnya, negara akan mengalami gangguan ketidakstabilan politik.

Hasil penelitian tentang cabaran pertanian negara, saya mencadangkan beberapa langkah jangka pendek yang dapat meningkatkan lagi sekuriti makanan negara.

Pertama, pelaksanaan penilaian kendiri secara jujur perkhidmatan dan produktiviti jentera KPKM. Mulakan dengan bedah siasat ucapan bekas menterinya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 6 Januari 2020 kepada warga kementeriannya. Tidak pernah seorang menteri lantang secara terbuka melahirkan kekecewaan dengan prestasi kementerian diterajuinya. Jelas beliau meluahkan isi hati cara kementeriannya berfungsi dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan sekali gus mengeluarkan peladang, penternak dan nelayan daripada belenggu kemiskinan berpanjangan.

Antara lain katanya, “Objektif utama MOA (Kementerian Pertanian) wujud adalah untuk membekalkan makanan yang secukupnya kepada negara. Saya akan merombak polisi yang lapuk dan ketinggalan zaman. Bukan masa untuk kita bermain-main dengan tugas yang diberikan kepada kita dan saya akan memastikan bahawa segala punca kuasa yang ada pada saya akan saya laksanakan sepenuhnya. Saya mahu MOA memastikan semua arahan dari saya melalui KSU (Ketua Setiausaha) mesti dilaksanakan dengan sempurna. Jangan lupa golongan sasar di luar sana sangat mengharapkan sentuhan kasih dari tangan kita.”

Bukan sekadar mengambil iktibar ucapan Salahuddin dalam majlis itu sahaja diteliti, kata-katanya semasa mempengerusikan pelbagai mesyuarat di KPKM dikumpul untuk dijadikan panduan dan kajian kes. Salahuddin dikesan menggunakan kaedah ‘mata hati’ bagi memahami aspirasi rakyat sebab telah lama berkecimpung dalam politik. Salahuddin faham kesukaran rakyat mendapatkan perkhidmatan jabatan kerajaan akibat kerenah birokrasi.

KRITIKAL, KREATIF

Kedua, KPKM mengambil langkah transformasi dan usaha memperkasakan semua pejabat peringkat daerah seperti Pejabat Pertanian, Pejabat Veterinar, Pejabat Perikanan dan sebagainya dengan memastikan kepimpinan, ilmu, kemahiran dan integriti pegawai berada pada tahap tinggi. Merekalah yang membantu pengusaha pertanian menangani permasalahan melalui pemikiran kritikal dan kreatif. Dasar-dasar pertanian dan agromakanan yang digubal akan gagal jika pejabat-pejabat ini tidak dibantu dengan memastikan keberkesanan perkhidmatan. Pegawai di peringkat daerahlah yang berada di barisan hadapan memastikan dasar dan arahan KPKM dijayakan.

Di peringkat KPKM, menteri dan pegawai tinggi mengumumkan bermacam-macam rancangan tentang kedaulatan makanan, namun kementerian hendaklah memastikan pegawai di peringkat daerah faham dan bersedia melaksanakannya.

Contohnya, media massa pada 25 Oktober lalu melaporkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara mengetengahkan lapan kertas kerja dalam memastikan keterjaminan dan kestabilan makanan selamat serta mencukupi. Adakah pegawai-pegawai di peringkat daerah sebagai pelaksana faham dan seterusnya berupaya menterjemahkan cadangan-cadangan itu? Kejayaan sesuatu dasar bergantung sejauh mana ia dilaksanakan, bukan sekadar tinggal catatan sahaja.

Sebelum itu, mesyuarat pada 8 September 2020 memperakui cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FOA). Di bawah kerangka berkenaan, empat kluster diwujudkan di bawah tiga kementerian dan satu agensi berfungsi mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan serta pelaksanaan strategi yang dikenal pasti.

Setelah tiga tahun mesyuarat, ‘kerangka-kerangka’ diadakan, apakah hasilnya difahami dan dilaksanakan di peringkat daerah?

Ketiga, KPKM berusaha mengurangkan kerenah birokrasi terutama membabitkan isu pemberian insentif, subsidi, perolehan, khidmat nasihat serta tempoh menunggu yang dikesan mengganggu usaha merancakkan pengeluaran makanan negara.

Keempat, surat, e-mel dan aduan permasalahan serta pandangan peladang, penternak, nelayan dan pelanggan lain hendaklah diterima secara positif oleh KPKM. Sikap defensif mempertahankan pegawai kementerian tanpa penyelesaian masalah secara munasabah tidak membawa kemajuan.

Kelima, KPKM mempergiatkan konsep gagasan rahmatan lil’alamin di semua jabatan dan agensinya berfokus kepada pengurusan yang berkesan, cekap, peduli rakyat, telus dan berintegriti. Di samping itu, sikap empati pegawai akan membantu mereka memahami pelbagai cabaran dilalui oleh pihak yang menceburkan diri dalam bidang pertanian mengikut kerangka kemanusiaan dan kebertanggungjawaban.

Golongan pengusaha pertanian seluruh negara menghargai usaha kerajaan mengadakan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan sebagai pengiktirafan kepada mereka yang terlibat dalam bidang pertanian. – UTUSAN

PENULIS ialah peladang dari Bidor, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×