PEPERANGAN antara Israel dan Palestin yang bermula 7 Oktober lalu berlangsung sehingga kini. Ini adalah peperangan terburuk yang telah mengorban beribu-ribu orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Israel melakukan pengeboman terhadap kawasan awam, perumahan, masjid, gereja, hospital, khemah pelarian dan segala sasaran yang mungkin tanpa belas kasihan dan langsung tidak menghiraukan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
Bekalan asas air dan elektrik serta sumber tenaga disekat. Bantuan kemanusiaan dan pintu masuk ke Palestin dikawal dengan pelbagai sekatan yang tidak sepatutnya.
Dengan bahasa mudahnya, pembunuhan secara tidak langsung dirancang dengan licik oleh Israel. Masyarakat awam antarabangsa seluruh dunia melaungkan tunjuk perasaan dan penentangan terbuka terhadap peperangan dan tindakan Israel terhadap rakyat Palestin ini.
Rumusan dapat kita katakan, Israel terlalu kuat dan negara-negara lain khususnya negara-negara Islam berada dalam keadaan lemah dan belum mampu melawan secara terbuka.
Persoalannya, siapa sebenarnya menyokong tindakan Israel ini? Kenapa mereka menyokong kuat? Di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuh khas bagi menjamin kestabilan dan keselamatan antarabangsa?
Apakah yang perlu dilakukan oleh negara-negara lain khususnya negara-negara Islam dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)? Adakah kita hanya akan terus membiarkan perkara itu berlaku dalam jangka masa puluhan dan ratusan tahun lagi?Cukupkah hanya dengan perhimpunan dan demonstrasi anti-Israel secara besar-besaran?
Israel mendapat sokongan anggota tetap Majlis Keselamatan (SC) khususnya Amerika Syarikat (AS). Dalam sebarang keputusan antarabangsa, kata pemutus adalah lima negara anggota SC iaitu AS, Great Britain (GB), Perancis, China dan Russia. Perhimpunan Agung (GA) PBB boleh membuat apa-apa keputusan resolusi, tetapi keputusan akhirnya terletak pada SC.
Dalam banyak hal tentang konflik Palestin-Israel, AS selalu tidak bersetuju dan biasanya disokong oleh GB dan Perancis. Walaupun China dan Russia bersetuju maka sesuatu keputusan itu akan terbatal dengan sendirinya.
Sehingga sekarang Palestin tidak diiktiraf sebagai sebuah negara dan anggota PBB kerana ditentang oleh AS walaupun dua pertiga anggota GA telah bersetuju. Sehingga sekarang Palestin masih bertaraf pemerhati dalam GA.
Di mana Artikel 1(1) Piagam PBB yang menyatakan dengan jelas matlamat utama penubuhan PBB bagi menjamin keamanan dan kestabilan antarabangsa? Artikel 1(2) memperuntukkan membina hubungan baik semua negara berasas prinsip hak sama rata, kedaulatan dan kebebasan.
Yang paling penting dalam kes Palestin-Israel adalah Artikel 2(4) yang menyatakan dengan jelas, “Semua ahli hendaklah menahan diri dalam hubungan antarabangsa mereka daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara, atau dalam apa-apa cara lain yang tidak selaras dengan tujuan PBB.”
SULIT
Selagi peruntukan ini tidak dipinda, maka kuasa-kuasa utama dan prinsip kuasa veto akan terus berjalan yang hanya akan membawa keuntungan sebelah pihak kepada lima kuasa utama dan negara-negara sekutunya.
Perkara 108 memperuntukkan tentang pindaan Piagam PBB dengan persetujuan dua pertiga GA dan persetujuan semua anggota SC. Pindaan ini amat amat sukar dan mustahil untuk berlaku.
Buat masa ini hanya rundingan dan cara aman yang mampu dilakukan oleh negara-negara kuasa kecil, khususnya negara-negara Islam dan bukan Barat.
Gabungan dan kekuatan negara-negara Islam yang menyatakan sokongan kepada Palestin belum terjamin kemampuan ketenteraan untuk melawan Israel dan kuasa Barat khususnya AS dan sekutu kuatnya, GB dan juga Perancis.
Tentera AS, GB dan Perancis sedang berada di persekitaran Asia Barat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Andainya berlaku serangan ke atas Israel oleh negara-negara yang berpihak kepada Palestin secara terbuka, tentera AS dan sekutunya akan bertidak secara terbuka.
Perkiraan tentang sokongan kuasa besar dan tindakan tentera ini agaknya yang menyulitkan negara-negara Islam yang menyokong Palestin untuk bertindak secara terbuka.
Secara logiknya, kekuatan tentera AS, GB dan Perancis tidak mampu dicabar buat masa ini. Kemungkinan konflik lebih besar akan berlaku dengan tindakan ketenteraan negara yang menyokong Palestin. Keputusan ketenteraan secara terbuka agak sukar buat masa ini.
Sebagai umat Islam dan masyarakat lain yang cintakan keamananan dan menghormati nilai kemanusiaan sejagat, tindakan Israel ini tidak harus dibiarkan berlarutan secara berterusan.
Dalam jangka panjang, negara-negara Islam mesti mempunyai perancangan membina kekuatan ketenteraan. Teknologi senjata moden yang canggih dan secara besar-besaran perlu dirancang dan dimajukan secara sulit dan tersusun.
Negara-negara anggota OIC perlu membina perancangan sulit tentang pembinaan kekuatan ketenteraan lebih besar sebagaimana dituntut oleh Islam, khususnya dalam ayat 60 surah al-Anfal yang meminta umat Islam bersedia menghadapi musuh dengan segala kekuatan.
Keseimbangan kuasa yang terbentuk memungkinkan sokongan kuasa besar terhadap Israel akan berubah. Umat Islam dan masyarakat yang cinta keadilan sebenar tidak boleh mengharapkan PBB lagi kerana terbukti mereka lebih memihak dan tidak bersifat seperti dinyatakan dalam Artikel 1 Piagam PBB.
Demonstrasi dan perhimpunan besar-besaran perlu dilakukan bagi menamatkan peperangan yang sedang berlaku, tetapi ia tidak benar-benar cukup.
Peperangan dan kekejaman sedang berlaku perlu dihentikan segera bagi mengelakkan lebih banyak yang terkorban. Untuk jangka masa panjang, kita perlu melakukan perancangan untuk kestabilan dan keamanan yang lebih terjamin. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Kanan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah. Kini mengikuti pengajian Sarjana Undang-Undang (LLM) Pengkhususan Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











