TURIN: Juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia bakal berehat dalam saingan MotoGP selepas selesai menjalani pembedahan pada kaki kanannya.
Bagnaia mengalami kecederaan serius susulan kemalangan ngeri ketika perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Lusail, hujung minggu lalu.
Pasukan Ducati mengesahkan pelumba Itali itu menjalani pembedahan di Turin, kelmarin, bagi merawat kecederaan patah dua tulang metatarsal keempat dan kelima di kaki kanannya.
Pembedahan berkenaan berjalan lancar sekali gus membolehkan pelumba Ducati Lenovo Team itu memulakan proses pemulihan dalam masa terdekat.
“Bagnaia selamat menjalani pembedahan pagi ini bagi merawat patah dua tulang metatarsal keempat dan kelima di kaki kanannya akibat kemalangan highside pada awal perlumbaan pecut GP Qatar, Sabtu lalu.
“Bagnaia akan memulakan proses pemulihan secepat mungkin, manakala perkembangan keadaannya dalam beberapa hari akan datang akan menentukan tempoh sebenar sebelum dia kembali beraksi,” menurut kenyataan Ducati.
Kemalangan itu berlaku pada pusingan pertama perlumbaan pecut apabila pelumba Gresini Racing, Fermin Aldeguer gagal mengawal jentera ketika di selekoh terakhir sebelum merempuh Bagnaia.
Impak pelanggaran menyebabkan pelumba berusia 29 tahun itu terpelanting ke atas litar sebelum terpaksa diusung keluar oleh marsyal bertugas, sekali gus menyaksikan perlumbaan dihentikan sementara menerusi bendera merah.
Kecederaan berkenaan memaksa Bagnaia menarik diri daripada perlumbaan utama GP Qatar, Ahad lalu, meskipun sebelum itu dia menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya mengesahkan petak kelima pada sesi kelayakan.
Insiden itu turut menimbulkan persoalan mengenai peluang Bagnaia untuk kembali beraksi dalam baki dua perlumbaan musim ini, yang sepatutnya menjadi penampilan terakhirnya bersama Ducati sebelum berhijrah ke Aprilia musim depan. – AGENSI











