Pengalaman kesihatan nilai tambah Dr. Asmah

Pengalaman kesihatan nilai tambah Dr. Asmah

Pengalaman kesihatan
ASMAH Samat calon dari Parti Bersatu bagi DUN Pantai Kundor pada PRN Melaka Ke-16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengalaman dalam bidang kesihatan dan perkhid­matan awam menjadi antara kekuatan yang mahu dimanfaatkan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datin Seri Dr. Asmah Samat, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Nege­ri (PRN) Melaka Ke-16.

Beliau berkata, pengalaman berurusan dengan masyarakat sebelum ini mengajar keperluan rakyat bukan hanya tertumpu kepada kemudahan fizikal, malah merangkumi aspek kesihatan, kebajikan dan kesejahtera­n kehidupan.

Menurutnya, mendengar dan memahami masalah individu perlu diberi perhatian kerana ada kalanya masyarakat memerlukan ruang untuk menyua­rakan kebimbangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadang-kadang pesakit da­tang bukan semata-mata mahu mendapatkan ubat atau rawatan. Ada yang hanya mahu me­lu­ahkan perasaan kerana berasakan doktor memahami mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Dr. Asmah, kese­daran penjagaan kesihatan juga perlu diperkasa menerusi pendekatan pencegahan, bukan hanya memberi tumpuan kepada rawatan selepas seseorang jatuh sakit.

“Kesihatan perlu dijaga dari dalam rahim sehingga ke ak­hir hayat. Kita perlu mendidik masyarakat supaya mengamal­kan pemakanan sihat dan mengelakkan penyakit seperti diabetes serta darah tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata, penduduk Pantai Kundor berdepan pelbagai isu yang memerlukan perhatian termasuk kesan penambakan pantai terhadap mata pencarian nelayan tradisional.

Katanya, perubahan kawasan pesisir pantai menyebabkan hasil tangkapan seperti geragau dan ikan semakin berkurangan, sekali gus memaksa nelayan bergerak lebih jauh ke tengah laut untuk mendapatkan hasil.

“Apabila laut ditambak, geragau sudah tiada dan hidupan laut yang biasa terdapat di kawasan itu juga semakin berkurangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini